Adobe sedang mengemaskini perisian-perisian mereka, menyertakan banyak ciri dan fungsi baharu untuk menarik lagi orang ramai menggunakan produk mereka.
Baru-baru ini mereka sedang menguji penawaran Adobe Photoshop versi web dengan pelbagai alatan suntingan dan ia percuma untuk digunakan. Selain itu, Adobe Lightroom turut dikemaskini untuk menyokong suntingan asas video seperti melakukan penggredan warna.
Perisian Adobe Photoshop turut dikemaskini dengan penawaran penuras baharu dalam Neural Filter. Ia kini menawarkan penuras Photo Restoration yang membolehkan pengguna memulihkan gambar lama,
Gambar lama ini sudah tentu perlu diimbas untuk dijadikan bentuk digital. Kemudian setiap kotoran, kesan hingar, kesan lipatan dan kesan koyak akan cuba dibaiki dengan teknologi kecerdasan buatan. Hasil imej juga dilihat akan menjadi lebih baik dan kelihatan lebih lembut.
Ciri ini buat masa ini masih dalam ujian dan ia akan ditawarkan dalam kemaskini akan datang. Ciri ini sesuai untuk mereka yang masih ada banyak gambar lama dan ingin disimpan dalam bentuk digital.