Cari @ Amanz

Sejak beberapa tahun lepas, banyak syarikat teknologi yang menghasilkan projektor mula memfokuskan kepada projektor jenis lontaran pendek. Ini memudahkan projektor di bawa ke mana sahaja, pemasangan yang tidak rumit, serta sesuai juga dalam ruangan sempit.

Philips baru-baru ini memperkenalkan Philips Screeneo U4, iaitu projektor lontaran pendek mereka yang bersaiz kompak. Kualiti pancaran adalah 1080p FHD sahaja, tetapi ia menyokong HDR10, ada ciri fokus automatik, ciri memastikan pancaran kelihatan tegak dan tidak senget, mempunyai speaker terbina yang berfungsi sebagai BoomBox, mempunyai sambungan Bluetooth 5.0, audio 2.1 dan sambungan HDMI 2.1 serta USB-A.

Lontaran pendek yang boleh dilakukan adalah pada jarak 12-inci, skrin sebesar 80-inci boleh dipancarkan. Manakala karak 7.7-inci boleh memancarkan sehingga 60-inci. Selain kualiti 1080p, ia turut boleh memainkan kualiti 1080p pada kadar 60fps. Philips mendakwa, warna yang dihasilkan adalah bertaraf wayang.

Ketahanan lampu LED pula dikatakan adalah sehingga 40 tahun, iaitu 30,000 jam penggunaan. Sokongan Bluetooth tadi pula, turut boleh ditambat pada dua aksesori audio lain jika ingin kongsi audio yang sedang dimainkan dengan orang lain.

Sayang sekali, projektor ini adalah projektor kosong. Tiada Android TV atau mana-mana sistem operasi terbina. Pengguna perlu sambungkan sumber sendiri seperti kotak set, dongel atau juga konsol.

Philips Screeneo U4 buat masa ini menawarkan projektor ini melalui laman biayasama Indiegogo. Ia dijual pada harga €1199, iaitu sekitar RM5,493.69 dengan diskaun 50% iaitu sekitar RM2763 kepada pembeli terawal.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd