Pada minggu lepas, sewaktu acara WWDC, Apple telah memperkenalkan cip pemprosesan Apple M2 terbaru mereka dan juga peranti-peranti MacBook Air dan MacBook Pro 13 baru yang menggunakan cip pemprosesan tersebut.
Terkini, skor penanda-aras untuk cip pemprosesan tersebut telah diuji menggunakan perisian penanda-aras GeekBench, dan memperlihatkan skor CPU dan GPU yang lebih tinggi berbanding dengan penawaran cip pemprosesan M1 sebelum ini.

Seperti misalnya, Apple M2 memperlihatkan skor penanda-aras satu-teras 1919 dan skor penanda-aras multi-teras 8928. Untuk skor grafik pula, cip grafik dalam pemproses M2 memperlihatkan skor 30627 pada ujian GeekBench Metal, yang merupakan peningkatan 42 peratus dari segi prestasi berbanding dengan cip pemprosesan M1 sebelum ini.
Skor-skor ini dilihat selari dengan kata-kata Apple bahawa M2 memperlihatkan peningkatan prestasi 18 peratus dari segi prestasi CPU dan 35 peratus dari segi grafik, menjadikan komputer-komputer riba Apple MacBook Air dan MacBook Pro 13 terbaru ini lebih berkuasa berbanding dengan penawaran sebelum ini.
Tanda-tanda harga untuk peranti-peranti ini sudahpun diperlihatkan di laman web Apple Malaysia, tetapi ia tidak lagi diketahui bilakah mereka akan mula dijual di pasaran tempatan.