Apple TV adalah aplikasi hab hiburan yang menyertakan akses kepada Apple TV+, sewa/beli filem, dan turut mempunyai pelbagai “saluran” daripada pelbagai perkhidmatan penstriman video lain yang boleh terus dilanggan seperti Lionsgate Play.
Terkini, Apple telah bekerjasama dengan Major League Soccer (MLS) untuk hak penstriman semua perlawanan 2023 sehingga 2032. Melalui kerjasama ini, peminat bola boleh strim perlawanan MLS seperti Leagues Cup atau juga kandungan MLS NEXT Pro dan MLS NEXT yang terpilih.
Ia boleh diakses oleh pelanggan platform penstriman MLS sedia ada terus dari aplikasi Apple TV. Untuk pelanggan Apple TV+ pula, perlawanan MLS dan League Cup terpilih boleh distrim secara percuma.

Melalui kerjasama ini, “saluran” MLS dalam Apple TV turut akan memaparkan berita mingguan, gol terkini, main semula perlawanan, analisa dan juga kandungan di sebalik tabir mendalam khusus untuk peminat.
Butiran lanjut mengenai harga langganan, tarikh boleh mula langgan, jadual perlawanan dan lain-lain lagi akan Apple umumkan pada tarikh lain nanti. Turut tidak pasti sama ada perkhidmatan ini akan ditawarkan di Malaysia ataupun tidak.