Cari @ Amanz

Jabra terkenal dengan pelbagai jenis produk audio. Tetapi bagi yang tidak tahu, Jabra turut aktif dalam menawarkan kelengkapan untuk pejabat seperti set audio dan set kamera. Banyak produk Jabra yang sesuai digunakan untuk tujuan perniagaan, perusahaan dan pelbagai lagi.

Yang tiba di makmal Amanz baru-baru ini adalah Jabra Panacast 20, iaitu kamera web yang dikuasakan dengan sistem kecerdasan buatan agar ia boleh mengesan wajah dan mempunyai fokus dan penjejakan yang baik. Saya telah menggunakan kamera web ini untuk pelbagai mesyuarat dan telesidang dan dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan saya serta memberikan pendapat sama ada adakah ia berbaloi untuk dimiliki.


Spesifikasi

Jabra PanaCast 20
JenisKamera web
Sensor13MP, F/2.25
1/3.2″
3x Zum digital nirhilang
Mikrofon3x mikrofon MEMS
Rakaman4k UHD, 3840 x 2160, 30 fps
1080p FHD, 1920 x 1080, 30 fps
720p HD, 1280 x 720, 30 fp
Zum pintar
PerisianJabra Direct
Windows atau macOS
SambunganUSB-C ke USB-A
USB-C ke USB-C
HargaRM1850

Jabra PanaCast 20 ini menggunakan sensor kamera 13MP dengan saiz 1/3.2-inci dan bukaan lensa f/2.25. Ia juga menyokong zum digital nirhilang sehingga tiga kali, dimuatkan dengan tiga mikrofon dan menyokong rakaman sehingga 4K 30fps. Spesifikasi dilihat cukup baik untuk penggunaan panggilan video dan juga untuk sesi telesidang.

Kamera web ini turut mempunyai sistem kecerdasan buatan untuk memastikan kualiti imej dan video kekal baik. Ia juga boleh memastikan pengguna dapat dilihat dalam situasi kurang pencahayaan. Jabra menggunakan cip tersendiri untuk sistem kecerdasan buatan ini.

PanaCast 20 ini turut direka dalam saiz yang kompak untuk mudah di bawa ke mana sahaja. Ia turut mempunyai satu bahagian plastik rata untuk mudah dipasang pada komputer riba atau monitor. Rekaan juga ringkas, kemas dan tidak kelihatan rumit. Jabra turut menyediakan slider untuk tutup sensor kamera sebagai privasi kepada pengguna.

Sambungan adalah dengan USB-C ke USB-C dengan kamera yang disediakan. Tetapi jika guna sambungan USB-C ke USB-C pun tidak menjadi masalah asalkan ia adalah USB 3.0. Lampu LED turut terbina untuk memberitahu yang kamera sedang aktif digunakan. Dalam pakej pembelian, turut disediakan satu bekas penyimpan yang diperbuat daripada fabrik.

Kualiti Kamera

Untuk kamera web 13 Megapixel, saya agak terkejut dengan kemampuan kamera Jabra PanaCast 20 ini. Ia mempunyai hasil yang memuaskan, lebih-lebih lagi dalam situasi kurang cahaya. Kamera mempunyai fokus yang baik dan mampu memberikan hasil yang cukup terang dan berkualiti. Walaupun kesan hingar masih jelas kelihatan, ia masih berada dalam tahap boleh diterima.

Pada awal penggunaan, saya tidak mengubah sebarang tetapan melalui aplikasi Jabra Direct. Mod automatik sudah cukup baik dan melepasi apa yang saya inginkan pada sebuah kamera web. Cuma jika menggunakannya untuk ambil gambar, ia tidak begitu konsisten dan sistem kecerdasan buatan mula menjadi pening.

Gambar mempunyai resolusi 3840 x 2160, daripada beberapa sampel yang saya ambil sepanjang penggunaan, setiap imej adalah berbeza. Kualiti menjadi lebih teruk jika mod Vivid HDR digunakan.

Untuk kualiti video, dalam beberapa mesyuarat dan sidang media yang saya sertai – hasilnya amat memuaskan untuk cahaya dalam pejabat. Jika ada bantuan cahaya matahari, sudah semestinya ia kelihatan lebih cantik, terang, tajam dan mempunyai fokus yang baik. Pada waktu malam dengan lampu LED pula, ia masih boleh dilihat dengan baik dan dengan jelas.

Apa yang saya suka adalah, ia mempunyai ciri seakan Center Stage daripada Apple. Ia boleh mengesan wajah pengguna yang berada di depan kamera. Apabila ia zum, ia masih mempunyai kualiti yang baik. Kemudian apabila ada orang lain masuk ke dalam bingkai, ia akan cuba fokus untuk lebih ramai orang. Cuma pergerakannya kelihatan sedikit aneh dan janggal.

Kualiti Audio

Kualiti mikrofon apabila dalam keadaan yang senyap dan hanya saya seorang bercakap, ia cukup baik, jelas dan terang. Suara boleh didengari tanpa sebarang masalah. Dalam situasi yang lebih bising pula, ia akan mempunyai masalah sedikit kerana ia cuba untuk membuang bunyi bising dan fokus kepada suara saya.

Walaupun saya boleh terima kualiti audio yang dihasilkan, saya tidak begitu puas hati kerana ia mempunyai kualiti lebih kurang sama dengan mikrofon pada Huawei Matebook 14s saya, cuma ia lebih perlahan.

Perisian

Untuk mengawal kamera ini, segala kawalan dan tetapan adalah melalui perisian Jabra tersendiri iaitu Jabra Direct. Perisian ini menyokong platform Windows dan macOS tanpa sebarang masalah. Malah, pada MacBook dengan cip Apple M1 pun tidak ada masalah untuk menggunakan perisian ini. Pada Windows, ia boleh terus mengesan kamera tanpa perlu memasang perisian. Tetapi ini saya tidak galakkan kerana jika ada kemaskini perisian pada kamera ia tidak boleh dilakukan.

Dalam perisian ini, ia boleh mati atau hidupkan ciri zum pintar dan juga mod gambar-dalam-gambar. Mod gambar-dalam-gambar ini walau bagaimanapun tidak menyokong ciri zum pintar, tetapi memudahkan pengguna untuk melakukan pelbagai multi-tugasan.

Kamera ini turut dioptimasikan untuk digunakan pada perisian seperti Zoom, Google Meet dan banyak lagi perkhidmatan telesidang.

Apa Dalam Kotak

  • Kamera Jabra PanaCast 20
  • Kabel USB-C ke USB-A 3.0
  • Bekas penyimpan
  • Buku panduan

Kesimpulan

Untuk mereka yang tidak mempunyai iPad atau MacBook dengan ciri Center Stage, Jabra PanaCast adalah antara kamera terbaik yang boleh anda semua gunakan sebagai kamera web untuk kerja harian. Ia mempunyai kualiti yang boleh diterima, ciri pintar yang memudahkan serta kualiti mikrofon yang cukup baik.

Cuma harga jualan kamera ini adalah RM1850 yang mana pada saya, ia agak mahal. Ia adalah harga sebuah telefon pintar kelas pertengahan premium yang sudah mempunyai kamera yang baik. Dengan aplikasi pihak ketiga seperti Camo Studio, telefon boleh berubah menjadi kamera web tanpa perlu mengeluarkan kos tambahan.

Tetapi jika anda hanya mempunyai satu telefon, inginkan kamera yang bijak dengan mikrofon yang boleh menangkap suara yang baik – Jabra PanaCast 20 adalah kamera web profesional yang sesuai untuk mereka yang aktif menghadiri telesidang.

Pro

  • Kualiti video yang memuaskan untuk kamera web
  • Mampu zum sehingga 3x
  • Boleh menjejak wajah dan mengubah fokus dengan baik

Kontra

  • Hasil gambar tidak konsisten
  • Audio tidak baik jika dalam situasi pejabat bising
  • Harga yang agak tinggi
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd