Tidak dinafikan yang iPhone telah mengalami satu fasa pengAndroidan dengan kemaskini iOS 16, kerana banyak ciri dan fungsi yang ditawarkan mirip Android. Antaranya adalah kunci skrin boleh diubahsuai, aplikasi Photos yang banyak mengikut ciri Google Photos, Face ID boleh digunakan secara melintang dan banyak lagi.
Tetapi selalunya apa yang Apple lakukan adalah iterasi yang lebih baik. Federico Viticci kedua editor MacStories baru-baru ini menemui ciri di mana dalam iMessage, aplikasi Notes dan mungkin beberapa aplikasi Apple lain menyokong pertukaran unit pada teks.
Jika seorang menghantar nota atau mesej dengan unit seperti jarak KM, suhu °C, masa daripada zon lain dan mata wang – ia boleh ditekan dan memaparkan pertukaran unit yang lebih jelas. Contoh KM ia akan memberitahu maksud dan dalam bentuk meter. Manakala jika masa ia akan memaparkan masa mengikut zon masa pengguna dan boleh terus tambah agenda ke kalendar.
Dalam ujian saya, mata wang masih tidak berjaya ditukar. Ia juga dilihat disokong pada iMessage dan Notes sahaja. Aplikasi lain tidak pasti sama ada Apple ada berikan API untuk pembangun mengintegrasikan ke aplikasi masing-masing. Apa-apa pun, ia adalah satu ciri yang menarik dan amat membantu.