Banyak syarikat teknologi inginkan sesuatu yang unik pada produk mereka, agar ia mendapat perhatian orang ramai. Ada yang memfokuskan pada kamera, ada juga pada prestasi, skrin dan sebagainya.
Mereka juga akan menggunakan pelbagai kaedah pemasaran seperti iklan untuk memfokuskan kepada sesuatu ciri atau fungsi, tetapi dalam iklan tidak semua yang jujur dan ada sahaja mencari jalan untuk mengelat dan beranggapan mereka akan selamat dariapadanya.
Terkini, Samsung didapati mengelat terhadap prestasi skrin televisyen mereka. Dalam ujian penanda aras yang dilakukan oleh FlatpanelsHD dan HDTVTest, mereka mendapati Samsung menggunakan algoritma khas untuk mengesan yang perisian penanda aras sedang digunakan.
Algoritma ini meningkatkan bacaan luminans televisyen Neo QLED Samsung sehingga 80%, yang mana sepatunya panel televisyen ini tidak mampu mencapai kecerahan tahap itu. Algoritma ini turut dikatakan mengubah tetapan warna yang dipaparkan agar kelihatan lebih tepat.
Walau bagaimanapun, Samsung telah mengeluarkan kenyataan yang mereka akan mengedarkan kemaskini perisian untuk membaiki isu algoritma ini. Kemaskini ini akan memastikan pengalaman penggunaan akan mengikut piawaian industri.