China ingin menjadi kuasa besar dunia bukan sahaja dari segi ekonomi – mereka kini di tangga kedua – dan juga dari segi kemampuan ketenteraan. Seperti Amerika Syarikat, China membelanjakan banyak wang untuk memodenkan angkatan tentera darat, udara dan darat mereka sejak 20 tahun kebelakangan ini. Antara langkah yang diambil ialah membangunkan sistem senjata ciptaan tempatan menggantikan sistem rekaan Rusia yang digunakan selama ini.
Semalam China memasuki kelab eksklusif selepas kapal pengangkut pesawat Fujian dilancarkan. Ia merupakan kapal pengangkut pesawat ketiga milik Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLN) tetapi Fujian adalah yang pertama direka sepenuhnya oleh China. Dua kapal pertama mereka – Liaoning dan Shandong – menggunakan rekaan kelas Kuznetzov Kesatuan Soviet dari dekad 80an.
Dari segi saiz Fujian adalah mirip dengan kapal pengangkut pesawat kelas Forrestal Amerika Syarikat dari dekad 50an. Ia sepanjang 300 meter, selebar 76 meter dan seberat sekitar 72,000 Tan. Ia menjadikannya sebuah supercarrier kerana kemampuan membawa lebih banyak pesawat berbanding Lioning dan Shandong.
Sistem pelancar pesawatnya juga moden kerana menggunakan sistem melancarkan pesawat menggunakan bantuan pelontar dan pendaratan menggunakan penghalang (CATOBAR). China menjadi negara ketiga selepas Amerika Syarikat dan Perancis menggunakan sistem CATOBAR. Sebelum ini PLN menggunakan sistem tanjakan ski untuk melancarkan pesawat.
Lebih menarik ialah Fujian akan dilengkapi tiga pelancar pesawat elektro magnet (EMAL) yang membolehkan pelbagai jenis pesawat dan dron dilancarkan dengan selamat. Satu lagi sejarah dicatatkan kerana China menjadi negara kedua menggunakan EMAL selepas Amerika Syarikat.
Dua sistem di atas adalah canggih tetapi Fujian masih lagi menggunakan enjin turbin bahan api konvensional sedangkan Amerika Syarikat telahpun menggunakan sumber tenaga nuklear sejak 1961. Sungguhpun begitu dengan Fujian China kini menjadi negara di tangga kedua dengan pesawat pengangkut pesawat terbesar. China mempunyai lebih banyak kapal pengangkut pesawat berbanding United Kingdom, Jepun, Perancis dan India.
Dengan wujudnya kapal pengangkut pesawat, China mempunyai kemampuan untuk menunjukkan kuasa mereka khususnya di kawasan Laut China Selatan yang cuba direbut sehingga menimbulkan ketegangan dengan negara-negara jiran termasuk Malaysia.