Denda RM200,000 & Penjara Sehingga 20 Tahun Menanti Penjual Penstriman Haram

Diterbitkan pada July 4, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sudah tahun 2022, namun jenayah cetak rompak masih lagi wujud dalam kalangan masyarakat, tidak kira sama ada penyedia kandungan mahupun pengguna kandungan cetak rompak digital. Masing-masing belum timbul kesedaran dalam diri kerana sebelum ini hukuman yang dikenakan tidaklah begitu setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

Oleh sebab itu, Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 telah dikuatkuasakan pada 10 Februari yang lalu dan akta ini dikemaskini dengan beberapa isi yang penting kepada landskap hak cipta kandungan di Malaysia. Tujuan akta ini dikemaskini adalah untuk membanteras jenayah cetak rompak ini daripada berleluasa, tanpa mengira sama ada ia melibatkan penjualan, pengedaran atau pembekal peranti penstriman haram (illicit streaming devices, ISD) atau juga platform aplikasi yang membenarkan orang ramai untuk mengakses kandungan secara haram.

Jenayah cetak rompak dahulunya dilakukan dalam bentuk VCD atau DVD sahaja, namun jenayah ini juga sedikit sebanyak telah berubah kearah kandungan cetak rompak secara digital seiring dengan peralihan dunia teknologi. Oleh sebab itu Akta Hak Cipta 1987 dikemaskini seiring dengan peredaran masa kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022.

Menurut Tuan Abdul Haris Haji Lakar, iaitu Ketua Pengarah, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), kemaskini akta adalah bertujuan untuk membanteras jenayah cetak rompak dalam bentuk digital dan dalam masa yang sama memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menggunakan medium yang betul bagi mengelakkan diri daripada terlibat dalam jenayah penyalahgunaan kandungan. Jadi pihak MyIPO menyarankan agar semua pemilik harta intelek mendaftarkan paten, tanda dagang, reka bentuk dan apa apa sahaja hasil kreatif agar karya mereka dapat dilindungi sepenuhnya serta mendapat manfaat khas yang disediakan oleh Undang-undang Harta Intelek.

Kenyataan ini juga disokong oleh Tuan Haji Azman Adam, Pengarah Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Beliau menyatakan bahawa pelaksanaan dan kemaskini akta ini sedikit sebanyak dapat melindungi pemilik hak cipta dan pihak mereka akan terus melakukan siasatan agar jenayah ini dapat dibanteras sepenuhnya.

Beliau turut menggesa para peniaga dan pertubuhan lain untuk menjalankan perniagaan mereka secara beretika. Jadi, sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan penyalahgunaan kandungan ini boleh membuat aduan ke talian 1-800-886-800, membuat laporan ke Pusat Arahan Penguatkuasaan di 03-8882 6088/6245, WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000, emel ke [email protected] atau juga melalui aplikasi ezAdu.

Sebagai seorang peguam bela dan peguam cara yang mempunyai pengalaman dalam bidang undang-undang harta intelek (IP) selama lebih daripada 30 tahun, Kherk Ying Chew berkata kemaskini akta ini sepatutnya telah lama dilakukan. Pindaan baharu ini memberi kelebihan bagi pemilik hak cipta yang sebelum ini hanya sekadar memfailkan saman sivil sahaja terhadap penjual peranti penstriman haram (ISD) dibawah Akta Hak Cipta Malaysia 1987.

Dengan peruntukan baharu ini, impaknya akan lebih menyeluruh. Ia terbahagi kepada dua. Pertamanya adalah dari segi aktiviti penjualan, pengimportan dan promosi ISD seperti kotak TV untuk kegunaan tontonan kandungan cetak rompak. Kedua adalah aktiviti mengedar dan berkongsi aplikasi, laman web dan pautan oleh individu melalui mana-mana platform media sosial yang membenarkan akses kepada kandungan cetak rompak. Kedua-duanya tidak selamat untuk digunakan, kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah.

Rekod Video Strim

Sebenarnya kita semua tahu, ada golongan yang lebih gemar menonton filem melalui platform penstriman haram. Ini kerana golongan tersebut tidak mahu membelanjakan wang untuk kandungan berbayar sebaliknya lebih gemar untuk menontonnya di platform penstriman haram secara percuma. Jika berterusan, jenayah ini sangat memberi impak buruk kepada industri hiburan.

Perkara ini sangat membimbangkan kerana ia memberi impak kepada ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang. Jenayah cetak rompak ini akan menyebabkan industri perfileman merosot kerana rakyat sendiri tidak menyokong karya tempatan dengan pergi menontonnya di pawagam atau juga di platform berbayar yang sah.

Oleh sebab itu, Professor Dr. Md. Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sangat menyokong inisiatif untuk membanteras jenayah ini dan beliau turut akan memberi kerjasama agar industri perfileman Malaysia dapat diselamatkan.

Beliau turut menyatakan bahawa setiap penerbitan akan diberikan lesen kelulusan daripada FINAS dibawah Akta 244 Seksyen 24(1) dan sesiapa yang melanggarnya akan dikenakan denda dibawah seksyen 25(1) atau Akta 244 atau dikompaun dibawah Seksyen 26K(1) daripada akta yang sama. Ini bermaksud, setiap penerbitan akan diberikan lesen untuk menentukan filem itu berada dalam milik atau jagaan siapa. Jadi, bagi sesiapa yang mengedarkan hasil karya seseorang tanpa sebarang persetujuan pemiliknya atau organisasi yang menjaga hak ciptanya, tindakan sewajarnya akan dikenakan.

Encik Zahrin Aris, selaku Setiausaha Kehormat, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) berkata, terdapat banyak kerja keras telah dijalankan di sebalik penerbitan sebuah filem yang tidak dilihat oleh pengguna. Ini melibatkan pelbagai jenis kerjaya seperti penulis skrip, penulis lagu, pemuzik, artis, vendor dan semua individu yang membolehkan industri berfungsi dengan baik. Sekiranya karya tempatan tidak dilindungi, ia akan mengganggu keseluruhan ekosistem. Oleh sebab itu, kemaskini Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang tertumpu pada hal ehwal digital sememangnya tepat pada masanya untuk mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang hak cipta di Malaysia.

Kesimpulan

Industri hiburan adalah antara yang terkesan daripada jenayah cetak rompak digital ini. Mereka mengalami kerugian jutaan ringgit disebabkan individu yang menyalah gunakan hak cipta kandungan dan seterusnya menyebabkan mereka hilang pekerjaan. Perniagaan yang menjual karya kreatif secara sah juga akan turut terkena tempiasnya kerana harga pasaran sudah terkesan dengan pengedaran kandungan cetak rompak digital.

Perkara ini kemudiannya akan menyebabkan industri hiburan Malaysia terpaksa meningkatkan harga pasaran mereka untuk menampung kerugian yang telah berlaku disebabkan jenayah cetak rompak ini. Oleh sebab itu, Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 ini sangat penting kepada industri hiburan dalam memastikan hak cipta mereka terpelihara. Jadi, sesiapa yang terlibat dan didapati bersalah seperti penjual peranti penstriman haram akan dikenakan denda sehingga RM200,000, dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali. Pihak berkuasa sudahpun menjalankan tugas mereka untuk membendung masalah ini. Kini, semuanya bergantung kepada kita sebagai pengguna untuk membantu industri hiburan Malaysia dengan cara menonton atau melanggan kandungan daripada platform yang sah.

Penafian : Advertorial daripada Astro

komen


© Amanz / 2022 Kami