AMD Ryzen 7000 Mungkin Akan Dilancarkan Pada 15 September Ini Dengan 4 Pilihan Model

Diterbitkan pada Jun 20, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Beberapa laporan telah dilihat mengatakan bahawa siri CPU AMD Ryzen 7000 yang akan tampil dengan sokongan untuk teknologi-teknologi baru seperti DDR5 dan PCIe 5.0 akan dilancarkan secara rasmi pada 15 September ini.

Cip pemprosesan terbaru AMD ini, yang hadir dengan kod nama Zen 4 dilihat akan menggunakan platform papan induk baru yang dinamakan AM5 juga, dan akan hadir dengan empat pilihan CPU pada awal pelancaran, termasuklah AMD Ryzen 9 7950X, AMD Ryzen 9 7900X, AMD Ryzen 7 7800X dan AMD Ryzen 5 7600X.

Perbezaan paling ketara dengan siri CPU terbaru ini ialah AMD akhirnya akan menggunakan tatasusunan pin LGA (Land Grid Array) yang sama dengan Intel berbanding dengan PGA (Pin Grid Array) seperti apa yang digunakan mereka sebelum ini. Soket ini juga dinamakan LGA 1718, menunjuk kepada jumlah pin yang hadir pada papan induk tersebut.

Siri cip pemprosesan AMD Ryzen 7000 dengan papan induk AM5 ini juga dilihat hanya akan menyokong memori DDR5, jadi mereka yang mahu menaiktarafkan komputer mereka ke platform Zen 4 yang baru ini akan perlu membeli memori DDR5 baru yang setakat ini masih lagi memperlihatkan tanda harga yang agak mahal.

Buat masa ini, AMD masih belum mengesahkan sekiranya butiran-butiran ini adalah tepat ataupun tidak. Tetapi melihat kepada tirisan maklumat mengenai komponen komputer sebelum ini, kami anggarkan bahawa maklumat ini berkemungkinan besar adalah tepat.

komen


© Amanz / 2022 Kami