Valve Dianugerahkan Paten Untuk Set Kepala Realiti Maya Dengan Sokongan Sambungan Nirwayar

Diterbitkan pada Jun 20, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kebelakangan ini Valve mungkin lebih dikenali untuk pengeluaran peranti permainan komputer mereka, Steam Deck yang memudahkan pemilik untuk memainkan permainan-permainan komputer di akaun Steam mereka di mana-mana sahaja.

Tetapi mereka juga merupakan salah satu syarikat perintis dalam pembangunan teknologi realiti maya melalui kerjasama dengan HTC dengan membangunkan peranti HTC Vive. Sejak itu, Valve juga telah memperlihatkan set realiti maya mereka sendiri yang dinamakan Valve Index.

Terkini, Valve dilihat mahu membangunkan sebuah set realiti maya baru berdasarkan peranti Valve Index tersebut, dan baru-baru ini telah diberikan paten untuk sebuah rekaan peranti realiti maya dengan beberapa ciri-ciri tambahan kepada peranti sebelum ini.

Valve Index sebelum ini sudahpun memperlihatkan penggunaan fon kepala terbina untuk tujuan audio, tetapi rekaan yang diperlihatkan pada paten terbaru ini memperlihatkan bahawa fon kepala tersebut boleh digerakkan sedikit bergantung kepada pergerakkan kepala pengguna.

Ia juga tampil dengan rekaan strap belakang kepala yang bukan sahaja mempunyai dua tombol, tetapi sebuah rangka yang dilihat akan merumahkan sejumlah komponen baru untuk set peranti realiti maya tersebut.

Rekaan terbaru inilah yang akan memperlihatkan Valve membangunkan sebuah peranti realiti maya yang hanya memerlukan sambungan WiFi untuk menyambungkan komputer pengguna kepada peranti ini, membenarkan pengguna untuk menikmati pengalaman dunia digital mendalam tanpa perlu risau mengenai selirat kabel di sekeliling mereka.

Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah Valve akan memperkenalkan set peranti realiti maya baru mereka ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami