TikTok Kini Menggunakan Khidmat Oracle Untuk Menyimpan Data Pengguna Amerika Syarikat

Diterbitkan pada Jun 21, 2022. oleh .

Jika anda mengikuti perkembangan perang perdagangan diantara Amerika Syarikat dan China, anda pasti mengetahui bahawa TikTok merupakan salah satu daripada syarikat yang banyak diperkatakan khususnya kerana populariti platform video ringkas tersebut di serata dunia.

Pada satu ketika, ia pernah dilaporkan bahawa ByteDance mahu menjual pegangan mereka keatas TikTok kepada Oracle untuk memastikan platform tersebut boleh terus beroperasi di Amerika Syarikat, yang merupakan salah satu daripada pasaran terbesar mereka.

Selepas Joe Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat, TikTok tidak dijual, dan diberikan kelonggaran untuk beroperasi dengan beberapa syarat-syarat tertentu, diantaranya ialah data pengguna Amerika Syarikat tidak boleh diakses oleh ByteDance atau sesiapa pun di China.

TikTok App

Walaupun pengambilalihan oleh Oracle tidak berlaku, TikTok dilaporkan masih lagi menggunakan khidmat syarikat tersebut untuk memindahkan data pengguna Amerika Syarikat ke negara tersebut melalui sebuah inisiatif yang dinamakan Project Texas.

Project Texas merupakan sebuah inisiatif untuk bukan sahaja memastikan data pengguna TikTok Amerika Syarikat dipindahkan ke negara tersebut dengan selamat, tetapi juga untuk memastikan bahawa ia tidak boleh diakses oleh mana-mana individu dari luar negara tersebut, khususnya China.

Pihak TikTok turut mengesahkan bahawa buat masa ini, mereka masih lagi menggunakan sistem sandaran dari Singapura, tetapi data tersebut juga akan dilupuskan dimana data sandaran tersebut juga akan disimpan di Amerika Syarikat.

Inisiatif Project Texas ini dilaporkan sudahpun dimulakan sejak setahun yang lalu, dan pihak TikTok sendiri mengesahkan bahawa kini, 100 peratus daripada data yang dimuat-naik ke TikTok di Amerika Syarikat akan melalui sistem Oracle Cloud Infrastructure untuk memastikan bahawa data tersebut tidak dihantar keluar negara tersebut.

komen


© Amanz / 2023 Kami