Ulasan Logitech Lift – Tetikus Ergonomik Yang Pelik Tetapi Menarik

Diterbitkan pada Jun 24, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jika ada orang menyuruh anda melukis sebuah tetikus, saya yakin anda akan menghasilkan sebuah lakaran dengan dua butang di atas, satu roda untuk menatal skrin dan tubuh tetikus yang berbentuk bujur. Ini ialah rekaan biasa sebuah tetikus sejak ia dicipta oleh Douglas Engelbart dari Stanford Research Institute pada tahun 1961.

Rekaan standard ini selesa digunakan selama beberapa jam tetapi boleh mengakibatkan kecederaan pada pergerakan tangan kerana RSI. Beberapa rekaan alternatif untuk tetikus telah dihasilkan seperti dalam bentuk trackball memerlukan bebola digerakkan dan bukan tubuh tetiksu itu sendiri.

Logitech Lift ialah sebuah lagi tetikus yang cuba mencabar dominasi tetikus dengan rekaan tapak tangan diletakkan secara mendatar. Idea bernas Logitech ialah meletakkan tangan secara menegak pada tetikus mereka. Adakah gimik ini berjaya? Baca ulasan untuk jawapannya.

Spesifikasi Dan Rekabentuk

Logitech Lift
Tetikus JenisNirwayar
Butang 6 Butang
SensorLaser
DPI400-4000 DPI
SambunganBluetooth LE
Logi Bolt
Sistem operasi minimamacOS 10.15
Windows 10
Linux
Chrome OS
Android 8
iPadOS 14
Saiz71 x 70 x 108 mm
Berat125 gram
Bateri 1x AA (sehingga 2 tahun)
Harga JualanRM 299

Unit yang diulas berwarna putih yang harus saya katakan warna yang agak klise. Bagi mereka yang inginkan warna yang lebih menarik, terdapat juga Lift dalam warna hitam dan juga ros. Warna yang dahulunya trendy pada telefon pintar akhirnya digunakan pada sebuah tetikus. Mungkin Logitech mengikuti trend yang dimulakan semula oleh Apple yang menawarkan iMac dalam pilihan warna pastel yang cukup ceria.

Saya harus katakan bahawa warna merah jambu ros ini bukanlah warna yang saya suka kerana dari pengalaman peribadi tetikus akan menjadi kotor dengan mudah. Tetikus hitam adalah yang paling mudah menyorokkan sebarang kekotoran bagi insan yang malas membersihkan aksesori komputer seperti saya.

Pengalaman kali pertama menggunakan Lift adalah sangat aneh. Selepas bertahun meletakkan tangan selari dengan permukaan meja untuk mengawal kursor di skrin, kini tangan diletakkan secara menegak dan sendeng sekitar 45 darjah pada sisi Lift. Dua butang klik, satu roda menatal dan butang menukar DPI diletakkan juga secara menegak. Perasaannya seperti menggunakan sebuah sebuah alat kawalan flight stick permainan video Microsoft Flight Simulator yang pernah saya milik.

Memang saya akui tangan terasa lebih selesa kerana tidak lagi perlu dibengkokkan pada pergelangan tangan untuk menggerakkan tetikus. Tetapi pada waktu yang sama muscle memory selama 27 tahun menggunakan tetikus membuatkan kesemuanya terasa amat canggung sekali. Ia sama seperti anda memegang sebuah tin minuman aluminium dan cuba seretkan tangan ke kiri dan ke kanan di atas permukaan meja. Inilah perasaan yang paling hampir dengan perasaan menggunakan tetikus menegak ini.

Jika sebelum ini tekanan diletakkan pada bahagian bawah telapak tangan, ia kini dipindahkan ke sisi tangan dan juga jari kelingking yang diseret atas permukaan meja. Proses membiasakan diri menggunakan tetikus menegak ini adalah tidak begitu lama dan mengambi masa sekitar 3 hari bagi saya.

Jumlah butang yang diberikan adalah agak banyak dengan enam kesemuanya. Dua butang klik standard, satu butang roda menatal, satu butang menukar DPI, satu butang “depan”, dan satu butang “belakang”. Ini adalah jumlah butang yang saya rasakan mencukupi untuk 99% kegunaan harian. Butang-butang tambahan boleh diubah fungsinya menerusi perisian Logi Option+ yang akan saya sentuh dengan lebih terperinci di bahagian perisian di bawah nanti.

Walaupun pergelangan tangan terasa jauh lebih selesa berbanding menggunakan tetikus biasa, harus saya akui bahawa Lift ialah sebuah tetikus yang agak kecil. Sebagai insan yang berbadan besar, telapak tangan saya juga agak besar. Sejak dari dahulu lagi saya lebih selesa menggunakan tetikus gaming seperti Alienware Elite Gaming Mouse AW959 yang saiznya lebih besar daripada biasa.

Tangan saya perlu mencengkam tetikus yang lebih kecil daripada kebiasaan dan ini mewujudkan pula isu lain yang tidak pernah dialami sebelum ini. Logitech sendiri mengiklankan bahwa Lift ialah tetikus yang direka untuk mereka yang mempunyai saiz tangan sederhana. Jika anda bertangan besar, saya rasakan keselesaan pada pergelangan tangan digantikan pula dengan kesakitan pada jari yang tidak mempunyai permukaan yang cukup untuk memegang Lift.

Kerana saiz yang kecil ini juga menyebabkan butang sisi dan butang klik kanan tersalah tekan memandangkan kedudukan jari yang tidak sama seperti pada tetikus yang lebih besar. Keperluan belajar semula bagaimana untuk memegang tetikus dengan betul mungkin akan menyebabkan sebahagian pengguna mengibarkan bendera putih.

Lupa untuk berkata walaupun setakat ini apa yang saya tulis ini agak negatif izinkan saya memberikan pujian kepada Logitech kerana menawarkan Lift untuk pengguna kidal. Mereka adalah golongan yang sering dilupakan oleh pengeluar aksesori PC dan Mac.

Perisian Dan Ciri Menarik

Perisian Logi Option+ adalah wajib digunakan jika anda pengguna macOS dan Windows. Semasa ulasan dilakukan saya menguji Lift pada kedua-dua sistem operasi desktop yang dominan ini. Saya tidak sempat pula menguji pada Chrome OS walaupun Lift menyokongnya.

Pemasangan perisian adalah mudah dan pantas bergantung kepada kelajuan Internet yang anda gunakan. Ya pembaca sekali, Logitech tidak menyertakan cakera padat perisian dan pemandu untuk Lift. Walaupun ini bukan perkara baharu tetapi sebagai seorang “dinosaur” yang hidup di dekad 90an, saya masih menyimpan hasrat perisian diberikan sekali dalam bungkusan.

Selepas dipasang pengguna boleh memilih untuk mengubah kelajuan tatalan butang roda, mengubah fungsi setiap butang, melihat tahap bateri Lift, mengemaskini firmware dan banyak lagi. Pilihan kustomasi yang diberikan menerusi Option+ adalah sangat lengkap.

Sebagai contoh saya mengubah butang menukar DPI kepada butang melancarkan Control Center dan mengubah juga butang sisi untuk mengawal tahap kelantangan audio pada komputer di pejabat. Apa yang menjadikan Option+ menarik ialah, kustomasi fungsi setiap butang boleh diubah mengikut aplikasi yang digunakan.

Sebagai contoh ketika menggunakan Safari, saya gunakan butang sisi untuk pergi ke depan atau ke belakang. Tetapi di dalam Photoshop, saya programkannya untuk mengubah saiz berus. Kesemuanya disimpan oleh Option+ tanpa anda perlu mengubahnya secara manual setiap kali aplikasi dibuka. Sangat menjimatkan masa untuk insan yang sering tak cukup masa seperti saya.

Setiap Lift boleh diprogramkan untuk ditambat kepada tiga peranti berbeza menerusi butang Easy Switch di bawah tetikus. Saya sangatlah pelupa dan Option+ menunjukkan nama peranti apa telah ditambat kepada Lift dan pada posisi mana. Dari dalam Option+ saya boleh mengubah tambatan ke peranti lain tanpa perlu melakukannya secara fizikal di tetikus.

Bateri

Lift hanya memerlukan sebuah bateri bersaiz AA untuk berfungsi. Ini adalah bagus kerana ini ialah saiz bateri yang paling senang untuk dibeli di pasaran. Logitech berkata bateri boleh bertahan sehingga 24 bulan. Selepas seminggu digunakan hanya di pejabat, tahap bateri masih lagi di tahap 98%. Maka dakwaan Logitech bahawa lift boleh digunakan sehingga dua tahun mungkin boleh dicapai. Saya merasakan ketahanan bateri sehingga dua tahun dengan hanya satu bateri adalah lebih daripada memuaskan.

Kesimpulan

Lift ingin mengubah bagaimana kita menggunakan tetikus untuk kesihatan pergelangan tangan jangka panjang. Sebagai seorang insan yang sudahpun mempunyai masalah RSI pada pergelangan tangan, Lift hadir beberapa dekad terlewat. Adakah ia berjaya membuatkan saya melakukan anjakan paradigma untuk hanya menggunakan tetikus menegak selepas ini?

Dalam kes saya jawapannya adalah tidak. Tidak kerana selepas hampir 30 tahun menggunakan tetikus mendatar saya sudah terlalu biasa dengan rutin harian sehingga tidak mampu berubah. Memang saya akui Lift selesa dipakai tetapi ini sahaja tidak mencukupi untuk membuatkan saya melakukan perubahan tabiat harian. Satu lagi isu ialah Lift terlalu kecil untuk manusia bertangan gorila seperti saya.

Tetapi jika anda ingin mengelakkan diri dari mengalami kecederaan pergelangan tangan, belum mempunyai tabiat jangka panjang menggunakan tetikus konvensional dan mahukan tetikus yang mudah digunakan pada multi peranti – Logitech Lift ialah tetikus yang saya boleh sarankan bagi yang berani mencuba sesuatu yang baharu.

PRO dan Kelebihan
  • Memang selesa digunakan tanpa tekanan pada pergelangan tangan.
  • Sokongan perisian yang sangat baik pada pelbagai sistem operasi.
  • Hayat bateri selama dua tahun.
  • Hadir dalam versi kinan dan kidal.
  • Banyak butang boleh dikustomasi dengan sokongan rasmi perisian pihak ketiga.
KONTRA dan Kekurangan
  • Terlalu kecil bagi mereka yang bertangan besar.
  • Memerlukan pengguna belajar semula bagaimana memegang tetikus.

komen


© Amanz / 2022 Kami