Siri Oppo Reno8 telah pun dilancarkan di China pada bulan Mei lepas dengan tiga model iaitu Oppo Reno8, Reno8 Pro dan Reno8 Pro+. Menariknya model dengan spesifikasi paling tinggi iaitu Oppo Reno8 Pro+ hadir dengan cip yang sama digunakan pada Oppo Find X5 iaitu Marislicon X dan turut dijana dengan cip MediaTek Dimensity 8100-Max.
Dalam laporan daripada MySmartPrice, mereka menemui peranti Oppo untuk pasaran global dengan nombor model CPH2357 tersenarai di Geekbench dengan cip lapan teras 2.85GHz yang mempunyai GPU Mali-G610 MC6, memori 12GB RAM dan menjalankan Android 12. Peranti ini mempunyai skor penanda aras 898 untuk satu teras dan 3555 untuk multi-teras.
Berdasarkan spesifikasi cip dan GPU, ia jelas sekali adalah cip Dimensity 8100. Kemudian nama peranti yang disenaraikan adalah Oppo Reno8 Pro. Ini bermakna, untuk pasaran global Oppo Reno8 Pro+ akan dijenamakan semula sebagai Oppo Reno8 Pro. Cip ini dalam ujian di makmal Amanz pada peranti Realme GT Neo 3 bersaing sengit dengan peranti dengan cip Snapdragon 870 seperti pada Black Shark 5.
Jika ia adalah peranti yang sama dengan nama lain, kita boleh jangkakan yang skrin yang akan digunakan adalah 6.7-inci AMOLED FHD+, dijana Dimensity 8100-Max dengan MariSilicon X, memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB.
Kamera pula adalah 50MP + 8MP + 2MP dengan kamera swafoto 32MP. Bateri pula adalah 4500mAh dengan pengecasan SuperVOOC 80W setaraf Oppo Find X5, dan menggunakan rekaan seakan Samsung Galaxy S21 Ultra dan OnePlus 10 Pro.
Di China, peranti ini dijual pada harga RMB2,999 untuk 12/256 GB iaitu sekitar RM1972. Oppo Reno7 Pro di Malaysia sebelum ini dijual pada harga RM2,999 untuk variasi storan sama. Dengan spesifikasi dan rekaan premium ini, kita boleh jangka yang Reno8 Pro di Malaysia mungkin harga lebih kurang sama.