Cari @ Amanz

Penggunaan robot didalam gudang untuk menghantar produk ataupun rak dari satu lokasi ke lokasi lain bukanlah sesuatu yang baru, tetapi Amazon kini telah memperkenalkan robot gudang terbaru mereka yang dinamakan Amazon Proteus, yang juga merupakan robot autonomi penuh pertama mereka.

Seperti yang dikatakan, robot autonomi yang boleh mengambil barang dan bergerak sendiri bukanlah sesuatu yang baru, tetapi secara lazimnya robot-robot ini dibangunkan dengan laluan pergerakan mereka sendiri, dan tidak boleh mempunyai sebarang halangan oleh manusia.

Akan tetapi, sistem autonomi pada robot Proteus ini lebih maju dimana walaupun ia mempunyai laluan yang diprogramkan sendiri, ia juga tampil dengan sensor-sensor tambahan yang membolehkannya untuk bekerja disamping pekerja-pekerja manusia yang lain walaupun ia membawa barang-barang berat dari satu destinasi ke destinasi yang lain.

Ini dibantu oleh cahaya hijau yang membantu robot tersebut untuk mengesan pergerakan daripada robot atau manusia yang lain, dimana ia akan berhenti sekiranya ia mengesan sebarang halangan di hadapannya.

Menariknya, Amazon juga menidakkan ura-ura yang mengatakan bahawa Amazon mahu menggantikan pekerja manusianya dengan robot-robot ini. Kata mereka, penggunaan robot-robot ini adalah untuk membantu para pekerja mereka mengurangkan beban mengangkat produk-produk yang berat dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Robot-robot ini sudahpun mula digunakan di beberapa gudang tertentu, dan akan diperluaskan penggunaannya di lokasi-lokasi gudang Amazon yang lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd