“Sedap sehingga menjilat jari” ialah moto yang digunakan KFC untuk sekian lama. Selepas jari sudah habis dijilat jangan lupa untuk membuang bungkusan makanan KFC ke dalam tong sampah. Biasanya ini akan kemudiannya pergi ke pusat pelupusan tetapi KFC Singapura memulakan projek rintis mengitar semula bungkusan menjadi baja dalam masa hanya 24 jam.
Bungkusan diperbuat daripada kertas dan bahan bio-plastik yang menggunakan bahan asas jagung serta tebu. Ianya dihasilkan oleh firma tempatan TRIA dengan ia masih kelihatan seperti bungkusan makanan biasa. Sampah bungkusan kemudiannya dikumpul dan diubah menjadi baja dalam masa 24 jam sebelum digunakan bagi tujuan pertanian di Singapura.
Projek rintis akan melibatkan sebuah restoran di Singapura terlebih dahulu untuk tempoh enam bulan bagi melihat keberkesanannya. Sebagai negara yang kecil dengan jumlah tanah yang terhad, melambakkan sampah seperti yang dilakukan di Malaysia bukanlah pilihan yang boleh diambil pemerintah Singapura. Oleh itu pelbagai teknik kitar semula yang lebih lestari telah digunakan.