Korea Selatan maju selangkah lagi apabila memasuki kelab eksklusif negara-negara yang mampu melancarkan satelit ke orbit menggunakan roket ciptaan sendiri sepenuhnya. Roket Nuri – yang bermaksud dunia dalam bahasa Korea – melancarkan sebuah satelit pengukur prestasi seberat 162 kilogram ke orbit setinggi 700 km dari permukaan bumi.
Dengan satelit kini berjaya tiba ke orbit, Korea Selatan menjadi negara ke-10 berjaya melakukannya dengan roket ciptaan tempatan sepenuhnya.Sebelum ini pada tahun 2013 Korea Selatan memasuki kelab negara yang mampu melancarkan satelit sendiri dengan sebahagian roket menggunakan komponen rekaan Rusia. Ini membuka pintu kepada Korea Selatan untuk melancarkan lebih banyak satelit tanpa bantuan negara luar.