Perang platform penstriman tidak tidak terhad kepada platform penstriman video sahaja, tetapi turut berlaku di antara platform penstriman muzik seperti Spotify dan Apple Music.
Untuk memastikan pelanggan sedia ada kekal setia, Spotify tidak berhenti membangunkan pelbagai ciri dan fungsi dan menambah lagi pelbagai penawaran kandungan menarik seperti podsiar dan buku audio.
Baru-baru ini, Spotify dilihat akan menawarkan ciri Community di mana ia membenarkan pengguna berinteraksi bersama rakan-rakan mereka yang turut melanggan Spotify. Dalam Community ini, pengguna boleh melihat muzik yang rakan lain sedang aktif mendengar dan juga melihat kemaskini kepada senarai main mereka.

Ciri ini berbeza dengan Friends Activity yang sedia ada, yang mempunyai fungsi terhad. Dalam Community ini ia akan mempunyai senarai main yang baru dikemaskini di baris atas dan di bawah akan ada senarai muzik yang aktif sedang dimainkan oleh rakan lain.
Muzik yang rakan sedang dengar, pengguna boleh lihat melalui animasi pada tajuk lagu. Jika tiada rakan aktif mendengar ia akan memberitahu bila kali terakhir ia dimainkan. Ciri ini buat masa ini diedarkan secara rawak kepada pengguna terpilih. Tidak pasti bila ia akan diedarkan secara meluas.