Cari @ Amanz

iPhone tidak dinafikan adalah peranti yang baik dengan sistem operasi yang memberikan pengalaman penggunaan memuaskan. Namun untuk beberapa aspek, ia sedikit ketinggalan dan sejak kebelakangan ini mereka banyak mengambil ciri dan fungsi Android sebagai inspirasi.

Antara perkara yang saya tidak gemar pada iPhone adalah, ia tidak membenarkan pengguna melakukan sandaran dengan data mudah alih. Peranti perlu disambungkan kepada WiFi sahaja, barulah sandaran iOS boleh dilakukan kepada iCloud.

Perkara ini berubah sejak iOS 15, di mana sandaran boleh dilakukan dengan data mudah alih jika ia adalah 5G. Terkini dalam iOS 16, Apple sedang menguji sokongan melakukan sandaran dengan sambungan LTE. Ia tidak lagi terhad kepada 5G dan ini membolehkan pengguna melakukan sandaran pada bila-bila masa asalkan ada sambungan Internet LTE yang stabil.

Ciri ini diberikan dalam iOS 16 Beta 2 untuk para pembangun. Dalam kemaskini ini juga, Apple telah menambah beberapa lagi ciri dan fungsi menarik;

  • Gambar latar belakang pada kunci skrin kini mempunyai penuras DuoTone dan Color Wash
  • Gambar latar belakang boleh dipangkas secara zum ke dalam atau keluar
  • Tema astronomi pada kunci skrin kini mempunyai indikasi lokasi pengguna
  • Dalam tetapan sistem, latar belakang skrin utama dan kunci skrin lebih mudah untuk diubahsuai
  • Tangkapan layar boleh terus disimpan ke aplikasi Notes
  • Kunci skrin yang tidak ingin digunakan boleh dipadam
  • SMS boleh ditapis mengikut kategori, tetapi sokongan terhad kepada negara terpilih dan perkhidmatan telekomunikasi tertentu
  • SMS spam boleh dilaporkan terus kepada perkhidmatan telekomunikasi
  • Aplikasi Translate kini menyokong bahasa Turki, Thai, Poland, Indonesia, dan Belanda
  • Pembangun boleh memanfaatkan API HealthKit untuk sokongan pelbagai aktiviti sukan serentak
  • iPad yang menyokong Stage Manage kini mempunyai tetapan khas

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd