China Ingin Semua Komen Disaring Terlebih Dahulu Sebelum Boleh Dipaparkan

Diterbitkan pada Jun 23, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Meninggalkan komen di laman media sosial dan YouTube adalah perkara yang kami yakin ramai di antara pembaca lakukan setiap hari. Menjadi lumrah untuk memberikan pendapat 5 sen untuk setiap status yang dimuat naik oleh rakan di Facebook atau memberikan komen positif di Instagram. Tetapi jika anda tinggal di China, kebebasan meninggalkan komen mungkin akan ditarik dalam masa terdekat.

China bendera

Dalam draf terkini garis panduan penggunaan Internet yang dikeluarkan di China, pengendali platform kelak perlu menyaring setiap komen yang ditinggalkan oleh pengguna sebelum ia boleh dipaparkan di laman. Kandungan yang “melanggar undang-undang dan mengandungi maklumat palsu” perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa serta dihalang dipaparkan.

Garis panduan baharu ini diwujudkan bagi “menjaga keselamatan negara, keselamatan orang ramai, dan mempertahankan hak mutlak setiap rakyat China. Sejak memperkukuhkan kedudukan beliau sebagai Presiden China, Xi Jin Ping telah mula mengurangkan kebebasan bersuara di negara tersebut.

Internet

Di laman media sosial, frasa “Winnie The Pooh” diharamkan kerana ia adalah nama panggilan yang tidak disenangi Xi selepas diberikan kepada beliau oleh rakyat yang tidak berpuas hati. Halangan kepada pengguna dari mengkritik kerajaan juga dilihat sepanjang pandemik dengan tagar yang menentang polisi “Sifar Covid” China dibisukan.

komen


© Amanz / 2022 Kami