Carian
Ulasan Charby Orbit – Aksesori Magnetik Seakan MagSafe Untuk Semua Dengan Ekosistem Tersendiri
June 27, 2022 Fahim Zahar

MagSafe adalah kaedah pengecasan magnetik yang mula diperkenalkan untuk komputer ribu MacBook Pro pada tahun 2006. Selepas 2012, produk-produk MacBook yang dilancarkan pada tahun 2016 sehingga 2019 mula menggunakan USB-C dan tidak lagi menggunakan kaedah pengecasan ini. Kemudian selepas MagSafe diperkenalkan semula pada barisan iPhone 12, ia kembali digunakan pada MacBook Pro 2021.

Untuk iPhone 12 dan iPhone 13, MagSafe boleh digunakan untuk pengecasan nirwayar yang lebih tepat agar ia tidak bergerak-gerak pada pengecas nirwayar. Apple turut hadir dengan pelbagai aksesori magnetik yang boleh digunakan bersama. Sejak daripada itu, banyak pengeluar aksesori mula hadir dengan pelbagai aksesori magnetik yang lebih mampu milik.

Charby adalah antara pengeluar aksesori magnetik ini. Charby adalah syarikat tempatan yang dibangunkan oleh bekas pelajar UTM yang mula menawarkan kabel semua dalam satu dan juga pengecas GaN. Produk magnetik terkini mereka adalah Orbit, di mana di bawahnya terdapat pelbagai aksesori yang boleh mengukuhkan lagi magnet pada iPhone 12 dan iPhone 13 serta memberi ciri MagSafe kepada iPhone lain dan juga peranti Android.

Selepas sekitar tujuh bulan saya menggunakannya, saya boleh katakan ini adalah antara penyelesaian terbaik yang saya pernah gunakan untuk iPhone dan juga peranti Android. Dalam artikel ini, saya akan kongsi pengalaman penggunaan untuk semua produk Charby Orbit yang telah saya gunakan.


Charby Orbit 20W Powerbank

Orbit 20W Powerbank adalah antara produk Charby yang paling mahal dijual. Ia adalah sebuah powerbank 20W dengan kapasiti bateri 5000mAh dalam satu saiz yang kompak, tetapi sedikit tebal. Powerbank ini menggunakan sambungan USB-C untuk mengecas mana-mana peranti yang menggunakan port sambungan USB-C dengan 20W power delivery. Apa yang membuatkan powerbank ini lebih menarik adalah sokongan MagSafe dengan N52 Neodymium terbina pada bahagian belakang. Ini membolehkan iPhone 12 dan iPhone 13 dicas secara nirwayar tanpa sebarang wayar dan pengecasan tidak akan terganggu kerana peranti dan aksesori sentiasa melekat.

Tambahan pada Orbit 20W Powerbank ini adalah ia mempunyai lampu LED untuk digunakan sebagai lampu suluh atau juga sumber cahaya tambahan ketika mengambil gambar atau video swafoto. Lampu LED terbina ini turut boleh dijadikan sebagai kaki untuk meletakkan peranti di atas meja atau permukaan rata tanpa menggunakan aksesori tambahan.

Sepanjang penggunaan saya, saya boleh katakan ini adalah alternatif terbaik kepada Apple MagSafe Battery Pack yang dijual pada harga RM479 kerana dijual pada harga bermula RM149.90 sahaja. Saya tiada masalah menggunakan powerbank ini ketika diperlukan. Malah ia juga boleh digunakan pada peranti Android secara magnetik jika aksesori tambahan digunakan seperti Orbit Pad atau Orbit Magnetic Ring. Saiz yang kecil mudah di bawa ke mana sahaja, cukup untuk memberi kuasa tambahan ketika bateri peranti lemah, Isu saya adalah binaan powerbank ini yang sedikit kurang berkualiti dan wayar yang terdedah.

Orbit 15W Magnetic Wireless Charger

Aksesori seterusnya juga adalah satu lagi untuk tujuan pengecasan peranti. Ia adalah pengecas nirwayar magnetik pada kuasa 15W. Ia dibina dengan rekaan ringkas, cukup berkualiti, kemasan berwarna hitam dengan tekstur yang baik dan kabel terbina adalah jenis USB-C. Disebabkan ia juga dibina dengan magnet N52 Neodymium, animasi MagSafe akan terpapar ketika peranti sedang dicas.

Pengecas nirwayar asas ini turut boleh digunakan pada peranti Android. Jika tiada aksesori tambahan seperti pelekat gegelung magnet atau Orbit Pad, ia perlu digunakan pada permukaan rata. Jika ada, boleh digunakan dengan gaya sama pada iPhone. iPhone 11 dan ke bawah dengan pengecasan nirwayar turut boleh digunakan tanpa sebarang masalah.

Di bawah tapak pemegang ini terdapat pelekat 3M untuk pengguna lekatkan pada meja. Untuk saya yang kerap bertukar meja dan berpindah ruangan bekerja, saya tidak menggunakan pelekat ini. Harga jualannya adalah bermula RM75.90 yang mana pada saya ia sedikit mahal.

Orbit Magnetic Aluminum Desk Stand 360°

Aksesori ini adalah pemegang peranti yang kelihatan biasa sahaja. Tetapi sebenarnya pada permukaan pemegang ini ia turut mempunyai magnet N52 Neodymium di dalamnya untuk memegang iPhone 12 dan iPhone 13. Walaupun mereka dakwa sebagai antara magnet terkuat, ia adalah sama sahaja dengan mana-mana aksesori MagSafe rasmi. Ia tidak kuat mana pun dan mudah tertanggal atau terjatuh jika terlanggar sesuatu.

Pemegang ini juga boleh berputar pada kadar 360 darjah, untuk digunakan mengikut keselesaan pengguna. Ia boleh melintang, menegak, senget atau terus rata menghala ke atas. Untuk memanfaatkan lagi pemegang ini, pengecas nirwayar 15W tadi turut boleh dilekatkan dengan pelekat gegelung magnet dan sambungkan pemegang ini. Secara tidak langsung, sambil pegang peranti ia juga akan dicas secara nirwayar. Harga jualan adalah bermula RM65.90, yang mana pada saya ia boleh diterima dengan kualiti binaan yang premium.

Orbit Magnetic Car Mount One-handed

Sama seperti pemegang yang tadi, cuma kakinya sedikit pendek dan saiz keseluruhan adalah lebih kecil. Ini memudahkan pengguna lekatkan pemegang ini pada papan pemuka kereta menjadikannya sebagai pemegang peranti ketika memandu. Semua ciri dan fungsi adalah sama, yang mana amat mudah untuk saya kawal Google Maps, Waze atau aplikasi penstriman muzik. Pelekat 3M terbina pada tapaknya juga cukup kukuh dan sekitar enam bulan penggunaan tidak pernah sekalipun ia tertanggal. Harga jualan pemegang ini adalah sedikit lebih murah iaitu RM55.90.

Orbit Kickstand Leather Magnetic Wallet

Dengan sokongan MagSafe pada iPhone, Apple turut hadir dengan dompet magnetik dengan sokongan Find My. Dompet ini adalah dompet asas yang boleh masukkan sekitar 2-3 kad. Dompet Apple ini dijual pada harga RM269, dan ia tidaklah sehebat mana. Charby juga hadir dengan alternatif yang dijual pada harga RM65.90 dan turut boleh berubah menjadi kaki untuk peranti boleh berdiri dengan sendiri.

Kualiti binaan sedikit lemah berbanding Apple, tetapi untuk apa yang mereka tawarkan ia boleh diterima. Magnetnya pun tidak begitu kuat, membuatkan saya risau menyimpan kad-kad penting.

Orbit Magnetic Ring Holder 360°

Aksesori ini juga adalah sejenis pemegang. Malah ia mudah dijumpai di mana-mana kerana, majoriti pengeluar aksesori yang menghasilkan pemegang pasti akan ada variasi bentuk gegelung ini. Membezakan gegelung pemegang daripada Orbit ini adalah ia jenis magnetik dan magnetnya adalah N52 Neodymium. Aneh sekali, ia adalah satu-satunya aksesori MagSafe Orbit dengan magnet paling kuat sekali. Mungkin kerana magnetnya terus terbina pada permukaan gegelung ini berbanding aksesori lain yang ada kerangka dan lapisan lain.

Pemegang gegelung ini turut mempunyai satu lagi gegelung kecil untuk memasukkan jari agar mudah pengguna memegang peranti. Ia juga boleh dijadikan sebagai kaki seperti pada dompet tadi. Saya jarang menggunakan aksesori ini, tetapi saya masih sukakannya kerana ada pilihan untuk gunakannya pada bila-bila masa atau jika perlu. Harga jualan adalah RM54.90 tanpa pelekat magnetik.

Orbit Side Mount Laptop Magnetic Phone Holder

Charby tidak berhenti dengan itu sahaja, mereka turut mempunyai pemegang yang boleh disambungkan pada komputer riba atau monitor. Pelekat 3M digunakan untuk lekat pada mana-mana permukaan, dan pemegangnya boleh ditolak naik atau turun untuk simpan atau digunakan. Ini bermakna tidak kiri di arah kiri atau kanan, aksesori ini boleh sahaja digunakan. Permukaannya juga adalah magnetik untuk mudah sambungkan iPhone atau peranti lain yang ada magnet terbina.

Dengan aksesori ini, telefon pengguna boleh menjadi seakan skrin kedua untuk tujuan multi-tugasan asas. Contohnya, kamera ketika telesidang sambil komputer riba digunakan untuk pembentangan atau membaca dokumen. Harga jualan yang bermula RM35.90 ini pada hemat saya agak menarik dan saya kerap menggunakannya hampir setiap hari.

Orbit Pad Dual-Function MagSafe Sticker

Anda mungkin biasa lihat pelekat nano gel sebagai aksesori pemegang peranti. Ia melekat pada banyak permukaan dan ia juga kuat untuk memegang apa jua peranti. Orbit Pad daripada Charby ini adalah jenis dua-dalam-satu, kerana satu permukaan hadir dengan magnet terbina untuk menggunakan aksesori MagSafe Charby yang lain dan satu lagi adalah permukaan untuk kosong untuk menggunakan dua Orbit Pad bersama-sama.

Jika hanya miliki satu Orbit Pad, ia boleh dijadikan sebagai alternatif kepada gegelung magnet – cuma ia tidak begitu kuat. Ia juga menyokong pengecasan nirwayar dan boleh digunakan pada mana-mana aksesori pemegang dengan mudah dengan kekuatan seakan aksesori MagSafe rasmi. Tetapi jika ada dua Orbit Pad, satu boleh lekatkan nano gel untuk lekatkan pada dinding tandas, papan pemuka kereta atau mana-mana sahaja – sementara satu lagi terus gunakan pelekat 3M untuk dilekatkan pada peranti. Jika menggunakan kedua-dua sekali, ia boleh dijadikan sebagai pemegang 360 darjah untuk peranti melekat pada dinding dalam keadaan menegak atau melintang.

Ia mudah dijadikan sebagai alternatif kepada tripod untuk rakaman TikTok atau gambar swafoto. Cuma sekali lagi saya ingatkan magnetnya seakan MagSafe asal dan tidak begitu kuat agar mudah ditanggalkan dan berputar-putar. Harga jualan sekeping Orbit Pad adalah RM59 atau ambil berkas dua keping pada harga RM118.

Orbit Magnetic Metal Ring Sticker

Ini adalah aksesori pelengkap untuk semua produk dalam Charby Orbit. Ia adalah pelekat gegelung bermagnet yang membolehkan MagSafe digunakan pada iPhone 11 ke bawah dan pada mana-mana peranti Android dengan pengecasan nirwayar. Permukaannya adalah pelekat 3M, tampal pada belakang peranti atau pada selongsong pelindung secara tidak langsung mana-mana peranti akan menjadi sesuai untuk menggunakan pelbagai barangan MagSafe termasuk yang rasmi. Sekeping adalah RM5.90 atau dua keping RM9.90.


Kesimpulan

Jika anda tertanya kepada dalam gambar saya gunakan iPhone 12 dan iPhone 13, bukannya peranti iPhone 11 ke bawah atau peranti Android – ia adalah kerana dengan pelekat gegelung magnet dan Orbit Pad ia menjadikan magnet pada dua iPhone ini lebih kukuh dan memberi saya lebih jaminan untuk pastikan iPhone tidak terjatuh. Saya tidak begitu yakin dengan MagSafe terbina pada iPhone, lebih-lebih lagi jika ada selongsong pelindung.

Charby Orbit pada saya adalah aksesori terbaik yang menjadikan pengalaman penggunaan peranti lebih lengkap . Produktiviti bertambah lancar, banyak kerisauan hilang dan paling penting ia memudahkan lagi saya menggunakan peranti tidak kira di mana jua saya berada. Harga jualan tidak begitu mahal dan tidak begitu murah. Ia juga adalah jenama tempatan yang membuatkan saya teruja, mereka boleh hasilkan produk berguna yang mempunyai kualiti boleh diterima.

Komen