Wear OS Akan Menyokong Google Fast Pair Untuk Menambat Aksesori Audio

Diterbitkan pada Jun 27, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Google Fast Pair adalah jawapan Google kepada Apple untuk sistem tambatan pantas untuk pelbagai aksesori. Fast Pair sudah pun tersedia pada peranti Android dan ia boleh digunakan jika aksesori seperti TWS, set fon kepala dan lain-lain lagi menyokongnya.

Hanya hidupkan aksesori, telefon pintar akan mula mengesan aksesori itu. Ia juga akan terus diselarikan dalam akaun Google pengguna agar mudah digunakan di antara peranti Android lain.

Baru-baru ini, Google telah mengemaskini aplikasi sistem Google Play Services ke versi 22.24. Dalam log perubahan kemaskini ini pada bahagian sambungan peranti, Google menyatakan Wear OS akan mula menyokong Fast Pair untuk tambatan aksesori audio seperti set fon kepala terus kepada peranti boleh pakai yang menjalankan sistem operasi ini.

Buat masa ini, kemaskini ini masih lagi diedarkan secara berperingkat dan belum meluas lagi. Tidak pasti bagaimanakah ia akan berfungsi dan adakah lebih mudah berbanding tambatan tradisional. Apa-apa pun, cukup menarik untuk melihat Google Fast Pair dikembangkan kepada lebih banyak platform.

komen


© Amanz / 2022 Kami