Rekaan Dan Spesifikasi Fon Kepala Gaming Sony INZONE Tertiris

Diterbitkan pada Jun 27, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sony dan produk audio berpisah tiada. Syarikat teknologi dari Jepun tersebut dilihat akan melancarkan sebuah lagi produk audio tidak lama lagi melalui sebuah siri fon kepala gaming yang dinamakan Sony INZONE.

Menurut beberapa laporan, Sony akan memperkenalkan tiga model fon kepala didalam siri ini, termasuklah Sony INZONE H3, INZONE H7 dan INZONE H9. Ketiga-tiga fon kepala ini akan tampil dengan ciri audio spatial 360 darjah Sony 360 Reality Audio.

Sony INZONE H3 diperlihatkan sebagai model fon telinga paling mampu milik mereka dan hadir dengan mod berwayar sahaja. Menariknya, fon kepala ini juga hadir dengan sebuah kad bunyi terbina, dan juga hadir dengan fungsi pembatalan hingar aktif dan juga mod pendengaran persekitaran seperti yang diperlihatkan pada fon-fon kepala dan telinga Sony sebelum ini.

Sony INZONE H7 pula merupakan penawaran fon kepala nirwayar pertama mereka didalam siri ini. Selain daripada fungsi-fungsi yang diperlihatkan pada fon kepala INZONE H3, ia boleh disambungkan kepada peranti konsol ataupun komputer menggunakan dongel WiFI USB ataupun Bluetooth.

Rekaan fon kepala INZONE H7 juga dilihat sedikit berbeza berbanding dengan model INZONE 3, dengan model lebih premium tersebut mempunyai tangkal yang menyerupai rekaan fon kepala Sony WF-1000XM5 yang baru sahaja dilancarkan.

Untuk Sony INZONE H9 pula, fon kepala ini dilihat mempunyai rekaan dan fungsi-fungsi yang sama seperti INZONE H7, tetapi mempunyai bulatan LED berwarna biru di sekeliling fon kepala tersebut. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi apakah perbezaan diantara kedua-dua model tersebut.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Sony akan memperkenalkan siri fon kepala gaming baru ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami