Cari @ Amanz

Bulan Julai akan tiba tanpa dijemput dalam masa beberapa hari sahaja lagi menandakan separuh tahun pertama 2022 sudahpun meninggalkan kita seperti bagaimana kita melepaskan batuk di tangga. Dalam masa enam bulan yang pertama kita telah berubah daripada fasa pandemik ke pra-endemik dengan semakin ramai kembali ke norma sebelum Covid-19.

Bagi meraikan enam bulan pertama yang akan meninggalkan kita, berikut ialah 10 berita terbesar, paling penting, tular, dibincangkan dengan penuh emosi dan paling mengejutkan setakat ini.

1.NFT Sana Sini Di Mana-Mana

NFT

Kita tidak boleh tidak membincangkan tentang NFT untuk separuh tahun pertama 2022 kerana ia adalah topik yang tidak dapat dielakkan sekiranya anda menghabiskan masa di atas talian. Pembelian Token Tidak Boleh Ubah (NFT) dilihat sebagai simbol status golongan tertentu dengan Bored Ape Yacht Club menjadi koleksi paling terkemuka dengan ia dibeli oleh Eminem, Snoop Dogg, Paris Hilton dan ramai lagi insan yang tidak mahu ketinggalan memiliki beruk siber yang dijual pada harga ratusan ribu ringgit.

Di Malaysia NFT menjadi perhatian ramai setelah NFT Rusuk Emas karya SueAnnaJoe dijual pada harga mencecah RM52,000 (22 BNB) pada penghujung 2021. Penglibatan Altimet juga membuatkan orang ramai mula mengetahui apakah itu NFT. Akibatnya pada Januari 2022 penerbit filem Rompak menggunakan penjualan NFT untuk mengumpul dalam menghasilkan filem mereka. AEAON, KFC dan MyeongDong Topokki di Malaysia juga menawarkan token masing-masing untuk tidak ketinggalan melompat masuk ke dunia web3.

2.Rusia Dikenakan Pelbagai Sekatan Teknologi

Rusia menyerang Ukraine pada bulan Februari dengan alasan negara bekas Kesatuan Soviet ini sedang diperintah oleh golongan Nazi yang mencabul kebebasan orang ramai. Dunia segera menyedari sebab sebenarnya adalah Presiden Putin tidak mahu Ukraine dari menyertai NATO yang dilihat boleh mendatangkan kesan negatif kepada Rusia. Perang yang pada awalnya hanya akan mengambil masa beberapa minggu kerana saiz tentera Rusia yang berlipat ganda lebih besar kini sudah melebihi empat bulan dengan puluhan ribu telah dilaporkan terkorban dan jutaan lagi menjadi pelarian.

Negara blok barat segera mengecam serangan Rusia dan mengenakan pelbagai sekatan ekonomi dan teknologi ke atas Rusia. Pengguna Rusia menjadi mangsa selepas aplikasi tidak lagi boleh dibeli dari stor aplikasi, Windows tidak boleh dikemaskini dan langganan perkhidmatan seperti Netflix juga dihalang. Bagi industri teknologi Rusia pula mereka terkesan kerana halangan pembelian cip dan semua bentuk teknologi dari barat. Ini menyebabkan Microsoft dan Google menarik diri sepenuhnya dari Rusia.

Antara kesan sekatan ekonomi yang tidak dijangka ialah rangkaian panggung wayang Rusia menayangkan filem barat secara haram dan McDonalds dijual sebelum dijenamakan semula hanya beberapa minggu yang lalu.

3.Microsoft Membeli Activision Blizzard

Jika anda memberitahu kami sepuluh tahun yang lalu bahawa pada tahun 2022, Microsoft akan membeli antara syarikat permainan video terbesar dunia kami akan mentertawakan anda. Tetapi pada Januari 2022 inilah yang berlaku dengan pembelian Microsoft mengejutkan dunia teknologi khususnya dunia permainan video.

Microsoft dipercayai membayar $70 bilion untuk membeli Activision Blizzard dengan siri permainan video Diablo, Call of Duty, Overwatch, Starcraft, Candy Crush dan World of Warcraft kini milik mereka. Ini adalah pembelian kedua mereka yang mengejutkan selepas membeli Bathesda pada tahun 2020. Impaknya cukup besar sehingga saham Sony merudum sehingga 12%.

Ada yang melihat pembelian syarikat-syarikat besar oleh Microsoft akan membunuh pesaing kerana francais popular Bathesda dan Activison Blizzard kini akan menjadi hak eksklusif platform Xbox mereka.

4.Nilai Saham Meta Jatuh RM1 Trilion

Facebook Meta

Nilai pasaran Meta menjunam -26% menyebabkan kehilangan nilai saham mencecah $251 bilion (~RM 1.05 Trilion) pada Februari lalu selepas laporan kewangan menunjukkan syarikat mengalami kerugian $20 bilion disebabkan pembangunan platform metamesta dan juga sistem anti penjejakan iklan ATT oleh Apple. Mark Zuckerberg yang saban tahun tersenarai sebagai antara 10 manusia terkaya dunia terus terkeluar selepas kehilangan $29 bilion disebabkan penyusutan nilai saham Meta.

Sungguhpun begitu Meta masih komited untuk membangunkan platform metamesta paling ulung di dunia seperti mana Facebook ialah platform media sosial utama dunia. Pelbagai strategi diumumkan bagi memastikan produk Meta kekal relevan seperti menjadikan aplikasi lebih mirip TikTok dan menambah integrasi NFT pada kesemua platform milik mereka.

5.Moderna Umum Pembangunan Vaksin Kanser

Kanser adalah penyakit yang meragut banyak nyawa dengan cara yang paling kejam. Kerap kali ia lambat dikesan sehingga tiada rawatan boleh diberikan. Beberapa minggu lalu penyanyi Adibah Noor meninggal dunia kerana kanser ovari. Oleh itu rawatan dan vaksin untuk menentang kanser sedang dibangunkan beberapa syarikat farmaseutikal terkemuka.

Moderna yang mula dikenali umum kerana membangunkan vaksin Covid-19 mengumumkan pembangunan vaksin kanser pada bulan Februari lalu yang menggunakan teknologi mRNA. Dalam kes vaksin kanser, ia direka untuk menyerang antigen Indoleamine 2,3-dioxygenase (IDO) dan programmed death-ligand 1 (PD-L1) yang membantu pertumbuhan tumor kanser. Moderna berkata pada peringkat awal ujian akan dilakukan untuk menghalang kanser kulit dan paru-paru.

Separuh tahun pertama 2022 juga membawanya banyak berita baik untuk manusia dan buruk untuk kanser. Pada bulan Mei, Imugene Limited memulakan ujian rawatan kanser menggunakan virus CF33-hNIS VAXINIA yang mengecilkan saiz saiz kanser di ovari, pankreas, paru-paru, payudara, dan usus pada haiwan. Awal bulan ini pula ubat dostarlimab berjaya menghapuskan terus tumor pada pesakit tanpa pembedahan ataupun radioterapi.

6.Samsung Menjanjikan Sokongan 4 Versi Android Dan 5 Tahun Sekuriti

Lima tahun lalu Samsung memenangi anugerah sebagai antara syarikat paling culas mengemaskini perisian Android dan tampalan sekuriti dengan HTC serta Google pula adalah yang terpantas. Menyedari bahawa perisian adalah sama penting dengan perkakasan, tahun ini Samsung menjanjikan sokongan kemas kini sehingga empat versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun.

Ini meletakkan Samsung sebagai pengeluar Android dengan sokongan yang terbaik melangkaui yang mampu dijanjikan oleh Google untuk Pixel. Sokongan akan diberikan bukan sahaja pada peranti mercu tetapi juga pada peranti pertengahan. Dengan sokongan perisian yang lebih baik, pengguna tidak perlu lagi risau mengenai sekuriti tetapi juga boleh menggunakan peranti lebih lama – asalkan tidak terlalu lama seperti Chris Evans sudahlah.

7.Elon Musk Membeli Twitter

Elon Musk

Elon Musk ingin membeli Twitter pada nilai mencecah  $44 bilion pada bulan April yang lalu. Pembelian dilakukan selepas lelaki terkaya dunia ini melakukan pungutan suara sama ada Twitter masih membenarkan kebebasan suara. Bermula sebagai jenaka ia kemudian menjadi jenaka yang tidak kelakar buat Musk kerana mengakibatkan saham Tesla menjunam dan kakitangan syarikat menyuarakan rasa tidak puas hati sehingga dibuang kerja.

Dua bulan selepas pengumuman dilakukan Mas Elon masih belum memuktamadkan pembelian dengan Twitter tidak memberikan data jumlah sebenar bot pada platform. Sementara itu beliau berkongsi idea seperti menjadi Twitter lebih mirip WeChat dan memberikan pengesahan identiti kepada kesemua pengguna.

8.Kerjasama Leica dan Huawei Tamat Dan Kini Berpindah Ke Xiaomi Pula

Berita yang agak besar juga dalam dunia teknologi ialah Leica menamatkan kerjasama dengan Huawei dan berpindah ke Xiaomi pula. Kerjasama sejak Huawei P9 berakhir dengan P50 Pro awal tahun ini. Tidak boleh disangkal jenama Huawei hanya mula disegani selepas kerjasama dengan Leica yang sangat berprestij dalam dunia fotografi. Tidak dapat juga dinafikan kamera Huawei dengan Leica adalah kombinasi hebat dengan mod malam terbaik dalam kelasnya.

Tetapi seperti yang kami tulis pada Mei lalu, kerjasama Xiaomi dan Leica akan menjadi pemangkin kepada “si beras kecil” untuk menjadi pengeluar telefon pintar utama dunia seperti yang disasarkan sendiri oleh Lei Jun. Kekurangan Xiaomi sejak dari awal ialah prestasi kamera yang masih di belakang Samsung, Apple dan Huawei. Dengan Xiaomi 12 Ultra dilengkapi lensa Leica akan dilancarkan pada bulan Julai, kita akan melihat sama ada ramalan kami akan menjadi kenyataan.

9.Penggunaan USB-C Wajib Pada iPhone Bermula 2024

Pengecas Wayar

Alhamdulillah syukur nikmat pada bulan ini apabila Kesatuan Eropah (EU) bersetuju mewajibkan penggunaan port USB-C pada kesemua peranti elektronik bermula 2024. Apple tiada pilihan lain selain turut menggantikan Lightning pada iPhone dengan port yang telah digunakan pada iPad sejak beberapa tahun yang lalu.

Perubahan ini telah lama dinantikan kerana penyeragaman mengurangkan jumlah kabel yang perlu dibawa pengguna apabila bercuti misalnya. Tindakan EU memulakan pergerakan supaya ia turut dilakukan di Amerika Syarikat. Penyeragaman global pastinya akan berlaku kerana tiada sebab untuk model dengan Lighthing terus dihasilkan oleh Apple selepas 2024.

10. Cip Apple Berjaya Cip Samsung Gagal

Kini akhiri artikel senarai ini dengan nasib berbeza dua syarikat teknologi utama dunia iaitu Samsung dan Apple. Apple meneruskan kejayaan Apple Silicon dengan pelancaran MacBook baharu dengan cip Apple M2 yang memberikan peningkatan kuasa berbanding Apple M1. Ulasan awal memuji prestasi yang meningkat sekali lagi tanpa isu pemanasan melampau yang menghantui cip keluaran Intel.

Samsung pula berharap dengan realiti bahawa cip Exynos 2200 generasi baharu mereka dengan GPU Xclipse AMD gagal memenuhi sasaran yang diberikan. Ia bermasalah sehingga menyebabkan pelbagai isu kepada pengguna di Eropah dan dalam ujian penanda aras tidak mampu bersaing dengan Snapdragon 8 Gen 1. Lebih memalukan cip MediaTek Dimensity 9000 lebih berkuasa. MediaTek yang dahulunya dianggap sebagai pengeluar cip murah yang tidak berkuasa kini mengalahkan Samsung Exynos.

Akibat kegagalan Exynos 2200, Samsung akhirnya akan menghasilkan cip peranti mudah alih yang direka khusus untuk peranti Galaxy menjelang 2025. Buat masa ini peranti mereka akan menggunakan cip Qualcomm yang mendapat sambutan di pasaran seperti Malaysia.

BONUS – Nilai Mata Wang Kripto Jatuh Menjunam

Nilai mata wang kripto utama dunia menjunam ke bawah seperti Pandelela Rinong di Sukan Olimpik. Nilai Bitcoin misalnya turun sehingga bawah RM80,000 berbanding mencecah RM263,000 pada bulan November 2021. Impak ke peperangan di Ukraine dan ekonomi yang masih belum cukup stabil menyebabkan nilai mata wang kripto utama jatuh. Ditambah pula dengan pelbagai skim kripto yang susut nilai sehingga hampir juga menyebabkan ramai pelabur menjual kripto yang dipegang.

Ketika artikel ditulis nilai Bitcoin masih lagi turun naik dengan ia kini sekitar RM92,000. Dengan kemelesetan ekonomi dijangka akan menjadi semakin terus ditambah pula dengan inflasi mencanak naik, nilai mata wang kripto utama tidak dijangka akan pulih dalam masa terdekat. Bagi pelabur yang boleh bersabar, penanti untuk ke bulan perlu ditangguh sementara.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd