Carian
Apple Watch Series 8 Mungkin Boleh Digunakan Seperti Biasa Dalam Mod Kuasa Rendah
June 28, 2022 Fahim Zahar

Semalam telah kami laporkan mengenai Apple yang mungkin akan ahdir dengan Mac Mini baharu yang dijana dengan cip Apple M2 atau M2 Pro, MacBook dengan cip M2 Max serta komputer Mac Pro dengan Apple M2 Extreme.

Selain itu, Apple TV turut dilaporkan akan hadir dengan cip Apple A14 Bionic, 4GB RAM berbanding 3GB RAM, dan HomePod pula dijangka akan hadir dengan model baharu yang dijana oleh cip Apple S8. Cip Apple S8 ini turut akan digunakan pada Apple Watch Series 8.

Apa yang mengecewakan adalah, cip Apple S8 ini turut dilaporkan akan mempunyai spesifikasi yang sama dengan cip Apple S7 yang digunakan pada Apple Watch Series 6 dan Series 7. Ia adalah cip 64-bit dwi-teras, mempunyai cip Apple W3 dan Apple U1 terbina sekali.

Apple Watch Series 8 yang dijangka turut akan dilancarkan pada tahun ini, akan menjalankan watchOS 9. Dalam watchOS 9 beta, tidak banyak perubahan drastik berlaku selain daripada muka jam baharu, beberapa ciri perubatan, dan pemantauan kecergasan/kesihatan.

Gurman turut meramal yang Apple akan mengumumkan ciri baharu pada Apple Watch Series 8 dengan watchOS 9 yang tidak kelihatan dalam beta. Ciri ini adalah mod kuasa rendah atau mod penjimatan bateri baharu. Sehingga hari ini, mod ini digelar sebagai Power Reserve Mode yang mana hanya memaparkan jam dan tidak boleh menggunakan apa-apa aplikasi dan fungsi Apple Watch.

Mod kuasa rendah baharu Apple Watch ini dikatakan akan membenarkan pengguna menggunakan Apple Watch Series 8 seperti biasa. Cuma aplikasi tidak akan berjalan di latar, prestasi akan dikurangkan untuk jimat bateri, dan aplikasi-aplikasi turut boleh dibuka. Ia adalah seperti iPhone dengan mod kuasa rendah, di mana ikon bateri menjadi kuning.

Tidak pasti sama ada ciri ini akan menjadi eksklusif kepada Apple Watch Series 8 ataupun tidak. Kerana cip Apple S8 adalah sama sahaja dengan dua jam generasi lama mereka. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan lebih maklumat mengenai ciri ini.

Komen