ViewSonic LS500WHE Dan LS550WHE Ialah Projektor LED Terbaru Dengan Penjimatan Berganda

Diterbitkan pada Jun 28, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

ViewSonic hari ini telah melancarkan siri projektor terbaru mereka, yang terdiri daripada ViewSonic LS500WHE dan juga ViewSonic LS550WHE yang merupakan dua projektor LED yang mana syarikat tersebut menjanjikan penjimatan berganda.

Seperti yang dikatakan, kedua-dua projektor ViewSonic ini merupakan projektor yang menggunakan pencahayaan LED untuk memancarkan kandungan ke dinding ataupun skrin, dan ia boleh melakukannya dengan sangat cepat berbanding dengan projektor yang menggunakan mentol DLP tradisional.

Kedua-dua projektor ini hadir dengan rekaan dan spesifikasi yang hampir sama, tetapi model LS550WHE merupakan sebuah projektor lontaran jarak dekat yang mana kedua-dua projektor ini boleh melontarkan paparan bersaiz 60 inci sehinggalah 300 inci.

Dibangunkan menggunakan teknologi LED ViewSonic generasi ketiga, kedua-dua projektor ini juga mempunyai jangka-hayat selama 30 ribu jam, dan dengan nilai kecerahan setinggi 3000 nit, masih lagi mampu menayang paparan pada pelbagai jenis kecerahan tanpa begitu banyak masalah.

Projektor-projektor ini juga boleh memaparkan 125 peratus gamut warna Rec.709 dengan kemampuan mencondongkan lampu 360 darjah yang memudahkan projektor ini digunakan dengan lebih kreatif, seperti untuk pemancaran pada permukaan siling ataupun lantai.

Selain daripada bebas merkuri, bebas lampu dan juga bebas penyelenggaraan, projektor ini juga hadir dengan pensijilan IP5X yang memastikan bahawa habuk tidak memasuki ruangan dalam projektor ini.

Perkara ini dilihat penting kerana ia bermakna bahawa kos pemilikan penuh sebuah projektor LED keluaran ViewSonic ini sebenarnya lebih murah berbanding dengan membeli sebuah projektor yang menggunakan lampu DLP tradisional.

ViewSonic Malaysia mengatakan bahawa projektor-projektor ViewSonic LS500WHE dan ViewSonic LS550WHE ini sudah mula ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM3999.

komen


© Amanz / 2022 Kami