Papan Putih Pintar ViewSonic ViewBoard Mula Merevolusikan Industri Pendidikan Tempatan

Diterbitkan pada Jun 28, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selain daripada projektor LED baru mereka, ViewSonic Malaysia juga telah mula memperkenalkan papan putih pintar mereka sendiri yang dinamakan VIewSonic ViewBoard yang digunakan bersama-sama dengan ekosistem perisian myViewBoard mereka.

Paparan ViewBoard IPF50 ini tampil dengan tiga saiz berbeza, termasuklah 65 inci, 75 inci dan 86 inci yang mana kesemuanya hadir dengan resolusi 4K dan menggunakan panel TFT LCD dan mempunyai fungsi sesentuh.

ViewBoard diperkenalkan sebagai sebuah alat pengajaran dan pembelajaran di sekolah sewaktu wabak COVID-19 memaksa para pelajar untuk belajar dari rumah. Guru-guru di sekolah telah mencuba pelbagai cara untuk memudahkan pembelajaran jarak jauh ini, dan untuk tujuan PdPR dan juga pembelajaran hibrid, penawaran ViewSonic ini dilihat sebagai cara terbaik untuk membolehkan para pelajar mempelajari pelbagai jenis matapelajaran dengan lebih mudah.

Disamping paparan ViewBoard ini, ViewSonic juga dilihat telah membangunkan perisian kolaborasi yang dinamakan myViewBoard yang memudahkan kolaborasi diantara para guru dan pelajar yang memanfaatkan program PdPR dan juga mereka yang berada secara fizikal di sesebuah bilik darjah.

Perisian ini juga memanfaatkan peranti-peranti pintar yang dimiliki oleh para pelajar dimana ia boleh digunakan untuk mengisi jawapan kepada soalan-soalan yang diberikan, menghantar jawapan tersebut kembali terus ke guru dan juga mendapatkan salinan nota yang ditulis pada papan tersebut dengan cepat dan mudah.

Selain daripada itu, ViewBoard juga tampil dengan sokongan terbina untuk platform telesidang popular seperti Zoom, Google Meet dan Microsoft Teams, dan juga menyokong teknologi storan awanan seperti Google Cloud dan Microsoft OneDrive.

Sejak produk paparan ViewSonic ViewBoard ini diperkenalkan di Malaysia sekitar dua tahun yang lalu, ViewSonic mengatakan bahawa mereka telah membekalkan 48 ribu buah ViewBoard ke pelbagai institusi pengajian, dari sekolah rendah hinggalah ke kolej tempatan.

ViewSonic Malaysia mengatakan bahawa mereka juga melatih guru-guru dan tenaga pengajar tempatan, termasuklah juga pentadbir IT di institusi-institusi pengajian tempatan tentang cara-cara menggunakan ViewBoard dan juga perisian myViewBoard untuk memaksimakan kebolehgunaannya untuk pelbagai jenis teknik pembelajaran dari sekolah rendah hinggalah ke institusi pengajian tinggi.

iew

Mereka juga mengatakan dari segi penawaran papan putih pintar ini, ViewSonic memegang 48 peratus daripada pasaran tempatan untuk produk seperti ini. Bagi guru-guru ataupun tenaga pengajar yang berminat untuk mendapatkan ekosistem ViewSonic ViewBoard ini, mereka boleh ke laman web ViewSonic For Education.

komen


© Amanz / 2022 Kami