Ini Adalah Rekaan Oppo Reno8 Pro Untuk Pasaran Tempatan

Diterbitkan pada July 14, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Oppo Reno8 Pro merupakan sebuah peranti baharu yang menggantikan Oppo Rneo7 Pro dengan penawaran yang ditambah baik. Salah satu daripadanya adalah kebolehan menangkap gambar dan video dalam pencahayaan malap yang baik. Ini disebabkan oleh penggunaan cip Marisilicon X yang digunakan oleh Oppo pada peranti mercu terkini iaitu Find X5 Pro sebelum ini.

Jadi kami di Amanz telah diberi akses awal untuk melihat peranti ini dengan lebih dekat. Namun begitu, perkongsian ini mungkin agak terhad kerana ia akan lebih menyentuh mengenai rekaan dan fotografi terlebih dahulu. Kemudian, butiran penuh mengenainya akan dikongsi dengan lebih menyeluruh pada masa akan datang.

Kami mulakan artikel dengan sesi nyah-kotak. Seperti yang dapat dilihat, kotak pembungkus yang digunakan mempunyai elemen visual kemasan yang sama seperti beberapa model Reno yang terdahulu. Kotak berwarna hijau yang dipadankan dengan tulisan hitam. Seingat kami permulaan kotak sebegini adalah sewaktu Oppo Reno5 yang kemudiannya diikuti pula dengan Oppo Reno6 dan Oppo Reno7.

Buka sahaja kotak, anda akan temui satu kotak hitam yang terkandungnya beberapa aksesori utama. Antaranya seperti kerangka silikon lut sinar, pencungkil SIM dan manual pengguna. Kemudian terdapatnya telefon pintar itu sendiri iaitu Oppo Reno8 Pro. Seterusnya, kepala pengecas turut diberikan secara percuma bersama kabel dengan sambungan A ke USB berwarna putih.

Dari segi rekaan, tubuh Oppo Reno8 Pro kini lebih berkotak. Melihatnya dari pandangan hadapan langsung tidak menampakkan perbezaan yang ketara dengan beberapa model sebelum ini. Dalam erti kata mudah, rekaannya sama seperti yang digunakan pada Oppo Reno6 dan Oppo Reno 7 Pro. Namun begitu, perubahan ketara yang dilakukan oleh Oppo terletak pada saiz skrin yang kini lebih besar. Ianya bersaiz 6.7-inci dengan panel AMOLED yang semestinya menjanjikan pengalaman tontonan lebih optimum.

Seperkara lagi yang kami perasan, kemasan belakang juga kini lebih licin. Tiada lagi reka bentuk berkonsepkan Oppo Glow yang digunakan, sebaliknya ia tampil dengan gaya sederhana tetapi menarik. Di tangan kami adalah Oppo Reno8 Pro dalam kemasan berwarna Glazed Green. Belakang peranti ini dihiasi dengan kemasan berwarna hijau berkilat secara menyeluruh.

Jika diperhatikan di sini, perubahan paling besar juga boleh dilihat pada bonggol kamera. Tidak keterlaluan untuk kami katakan, ia ada meminjam elemen Contour Cut Design seperti yang digunakan pada siri Samsung Galaxy S sebelum ini. Cumanya, bonggol kamera pada Oppo Reno8 kelihatan lebih besar dan menonjol akibatnya peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja walaupun dengan penggunaan kerangka.

Seterusnya, pilihan kamera pula mempunyai tiga pilihan dengan sensor utama 50MP yang dipadankan dengan sistem kamera Sony IMX766. Ini adalah sensor yang sama digunakan oleh kamera utama pada OPPO Find X3 Pro, Oppo Find X5 Pro dan Reno7 Pro sebelum ini. Ia kemudiannya diikuti dengan 8MP untuk kebolehan ultra-lebar dan 2MP yang boleh digunakan untuk tangkapan makro.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, susunan lensa agak unik tanpa sebarang bonggol yang timbul. Dua lensa bersaiz besar dipadankan dengan satu lensa kecil dalam kedudukan yang berbeza. Berhampiran dengan kamera utama ini turut menempatkan LED Flash dalam bentuk membulat. Bukan itu sahaja, turut kelihatan adanya penjenamaan ISP Marisilicon pada modul kamera. Kemudiannya, logo Oppo yang diletakkan pada bahagian bawah.

Seperti yang dikatakan tadi, salah satu unique selling point (USP) pada telefon ini adalah penggunaan cip Marisilicon X. Jelas menunjukkan penekanan diberikan pada kemampuan tangkapan gambar atau video dalam pencahayaan malap. Seterusnya, penghasilan semula gambar dan video dengan butiran lebih baik bersama warna yang semula jadi boleh dihasilkan oleh peranti. Bagaimanapun, kami akan mengujinya dengan lebih lanjut dalam ulasan kan datang bagi melihat prestasinya dalam dunia nyata dengan lebih menyeluruh.

Penggunaan cip Marisilicon X turut membolehkan rakaman 4K Ultra Night Video dilakukan pada peranti. Ia boleh diaktifkan menerusi butang khusus dikenali AI Highlight Video pada antara muka aplikasi kamera. Dengan ini, rakaman yang diambil menggunakan Oppo Reno8 Pro semestinya menjadi lebih baik meskipun dalam pencahayaan malap.

Berbalik semula pada rekaan, butang kuasa yang diperbuat daripada logam terletak pada sisi kanan. Sinonim dengan kebanyakan peranti di bawah siri Reno, butang kuasanya akan didatangkan dengan perhiasan tanda berwarna hijau. Seterusnya, butang laras audio pula terletak pada sisi kiri. Bergerak ke bawah pula adanya talam SIM dan tidak menyokong kad microSD, sambungan USB-C dan pembesar suara sejenis mono. Tidak ketinggalan, pengimbas cap jari terbina pada skrin turut disertakan untuk tujuan sekuriti. Sebagai pilihan, sistem imbasan wajah turut boleh digunakan untuk akses peranti yang lebih pantas.

Sebelum kami mengakhiri artikel ini, adakah anda perasan apa sebenarnya yang tidak disertakan pada perani? Jawapannya adalah bicu audio 3.5mm. Ini adalah perkara yang sama berlaku pada beberapa model Reno sebelum ini seperti Reno5, Reno6 dan juga Reno7 Pro. Hal ini sekaligus akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna yang bergantung dengan fon telinga berwayar.

Jadi itulah serba sedikit perkongsian kami mengenai peranti baharu Oppo ini. Segala perkongsian yang berkaitan dengan butiran penuh peranti akan dikongsi kemudian. Kami juga akan membuat ulasan penuh mengenainya dalam masa terdekat ini bagi melihat prestasi peranti dalam dunia nyata. Seperti biasa, kekal dengan kami di Amanz untuk kemas kini lebih lanjut.

komen


© Amanz / 2022 Kami