Cari @ Amanz

IQOO dikhabarkan bakal hadir dengan peranti pintar baharu lagi. Dikenali sebagai iQOO 10, pengenalannya dijangka berlangsung sekitar bulan hadapan, namun tarikh khusus mengenainya masih tidak diketahui. Dalam pada itu, ia juga mungkin hadir dengan dua variasi yang merangkumi iQOO 10 dan iQOO 10 Pro.

Bercakap lebih lanjut mengenainya, imej pengolokan yang menunjukkan reka bentuk untuk peranti telah tertiris. Ia dilihat mempunyai bonggol kamera yang besar seakan Vivo X70 Pro+ dengan sokongan sistem tri-kamera di belakang.

Melaluinya, dua lensa besar dipadankan dengan satu sensor kecil dalam kedudukan yang berbeza. Menurut spekulasi awal, kamera utama 50MP dengan sensor 1/1.5-inci mungkin digunakan, tetapi butiran mengenai dua lagi sensor lain masih tidak diketahui.

Bersebelahan dengan kamera utama terdapatnya LED Flash berbentuk memanjang. Di samping terdapatnya penjenamaan penstabilan gimbal. Ini sekaligus membolehkan rakaman video dibuat dengan baik sekali. Panel belakang juga menunjukkan reka bentuk bertekstur dengan beberapa pilihan warna seperti hitam dan putih.

Apa yang menjadi tanda tanya adalah masih tidak diketahui sama ada peranti bakal dilengkapi panel hadapan dengan kamera swafoto tunggal atau lebih. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lebih lanjut berhubung perkara ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd