Pada minggu lepas, kami ada melaporkan bahawa AMD dilihat akan memperlihatkan siri cip pemprosesan berkuasa baru untuk menandingi penawaran cip pemprosesan Intel Alder Lake untuk komputer riba.
Terkini, butiran mengenai dua siri cip pemprosesan ini, iaitu Dragon Range dan Phoenix Point telahpun tertiris, dengan sebuah laman YouTube komponen komputer, Red Gaming Tech mengatakan kedua-dua siri cip pemprosesan ini akan memperlihatkan empat model CPU apabila ia dilancarkan kelak.

Bermula dengan Dragon Range, siri cip pemprosesan ini dikatakan akan menandingi siri cip pemprosesan Intel Alder Lake HX yang akan diperlihatkan pada komputer-komputer riba kelas premium, gaming dan produktiviti yang berkuasa.
Ia juga dilihat sebagai siri cip pemprosesan AMD Ryzen 7000 untuk kelas desktop yang direka semula untuk dimuatkan kedalam rekaan komputer riba gaming berkuasa.

Cip pemprosesan Phoenix Point pula akan hadir dengan jumlah model CPU yang sama juga, dan untuk siri ini, ia nampaknya akan digunakan pada komputer-komputer riba kelas nipis, ringan dan juga berkuasa, yang boleh diperlihatkan pada komputer-komputer riba yang memfokuskan kepada produktiviti dan gaming kelas pertengahan.
Dalam pada itu, satu kelebihan pada cip pemprosesan Phoenix Point ini ialah ia juga akan menggunakan cip grafik RDNA 3 yang akan diperkenalkan pada suku ketiga tahun ini juga, yang akan memberikan cip pemprosesan ini kemampuan gaming yang baik tanpa memerlukan kad grafik tambahan.
Siri cip pemprosesan AMD Dragon Range dan Phoenix Point dilaporkan akan diumumkan tidak lama lagi, dan komputer-komputer riba yang akan menggunakan cip-cip pemprosesan ini dijangka akan diperlihatkan pada awal 2023 kelak.
- Sumber
- VideoCardz