Pelan Pemulihan Netflix Ialah Memberikan Tumpuan Kepada Pengguna Asia Pasifik
Effi Saharudin
Nilai saham Netflix jatuh sehingga 70% selepas lebih banyak pengguna menghentikan langganan mereka pada suku yang lalu. Walaupun ini telahpun dijangka tetapi impak dunia pasca Covid-19 ke atas syarikat menyebabkan ratusan kakitangan kehilangan kerja dan projek besar dibatalkan. Namun begitu Netflix kini mempunyai perancangan untuk mengembalikan keuntungan syarikat dengan tumpuan kini diberikan kepada pelanggan di Asia menurut Bloomberg.

Tidak seperti di Amerika Utara, Amerika Latin, Timur Tengah, dan Eropah, Asia Pasifik ialah satu-satunya pasaran Netflix yang menunjukkan peningkatan pelanggan baharu. Ini dibantu oleh kurangnya pesaing dalam sektor penstriman dan juga Netflix yang meningkatkan penawaran kandungan dari Asia khususnya Korea Selatan yang amat popular.

Ketika perbelanjaan untuk penerbitan di pasaran lain dikurangkan, pelaburan penerbitan siri TV dan filem untuk Asia akan ditingkatkan menurut Tony Zameczkowski, timbalan presiden pembangunan perniagaan Netflix APAC dalam sebuah temuramah. Asia Pasifik kini menyumbang kepada 15% pelanggan berbayar Netflix dan 79% daripada 6.8 juta pelanggan baharu Netflix sepanjang 2022 diramalkan adalah dari pasaran ini.
[sumber] Sumber – Bloomberg [/sumber]