Cari @ Amanz

Sony semalam telah melancarkan monitor gaming pertama mereka iaitu dalam siri Inzone. Sony menawarkan dua model iaitu Inzone M9 dan juga Inzone M3. Monitor ini bukan di bawah jenama PlayStation, tetapi ia menggunakan rekaan yang mirip dengan PlayStation 5 serta boleh digunakan bersama-sama dengan baik.

Kedua-dua monitor ini juga direka dengan rekaan yang menjimatkan ruang di meja, agar pengguna boleh menggunakan pelbagai jenis papan kekunci atau pad tetikus saiz gergasi dengan mudah. Setiap monitor turut boleh dilaras ketinggian dan sudut pandangan untuk keselesaan pengguna berbeza.

Inzone M9

Inzone M9 adalah monitor mercu mereka yang menyokong resolusi 4K dengan panel LCD 27-inci yang menyokong DisplayHDR 600, DCI-P3 95%, menjanjikan warna hitam yang lebih gelap, serta Full Array Local Dimming. Ia juga menyokong kadar segar semula tinggi 144Hz, NVIDIA G-SYNC dan yang paling penting HDMI 2.1 VRR. Belakang monitor turut mempunyai lampu LED untuk memberi sinar dan identiti sebuah produk gaming.

Monitor ini sesuai digunakan pada komputer gaming atau juga konsol generasi baharu seperti PS5 dengan sokongan Auto HDR Tone Mapping serta boleh bertukar antara mod permainan dan mod penstriman jika pengguna bertukar antara aplikasi.

Sony Inzone M9 ini turut menyokong masa respons pada kadar 1ms GtG dan turut mempunyai Auto KVM untuk aksesori seperti papan kekunci boleh digunakan antara dua peranti dengan sambungan terus ke monitor. Ini juga bermakna ia setiap port sambungan boleh berfungsi sebagai hab USB, terdapat 2x HDMI 2.1, 1x DisplayPort 1.4, 1x USB-C yang boleh menyambungkan komputer riba atau MacBook dengan sokongan pengecasan 50W.

Harga jualan Sony Inzone M9 adalah $899.99 iaitu sekitar RM3960.

Inzone M3

Secara keseluruhan monitor Inzone M3 mempunyai spesifikasi sama dengan Inzone M9, tetapi resolusi skrin adalah 1080p sahaja. Ia juga tidak menyokong Full Array Local Dimming, tetapi kadar segar semula tinggi dinaikkan kepada 240Hz. Paparan pula hanya terhad kepada DisplayHDR 400 dan ia lebih fokus kepada sokongan untuk komputer kerana tidak menyokong mod PS5 Auto HDR Tone Mapping. Inzone M3 juga tidak mempunyai lampu LED di belakang monitor.

Harga jualan Sony Inzone M3 adalah $529.99 iaitu sekitar RM2332.

Setiap monitor ini turut hadir dengan perisian Inzone Hub untuk memberikan pengguna lebih kawalan, berbanding dengan kawalan terbina pada monitor. Ia membolehkan pengguna menetapkan profil gaming sendiri, mengawal aksesori lain dan mengawal pelbagai tetapan tambahan untuk kesesuaian masing-masing. Masih tiada pengumuman sama ada adakah monitor ini akan menembusi pasaran tempatan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd