Sony Inzone H9, H7 Dan H3 Dilancarkan Dengan Bateri 32 Jam Serta Teknologi Sony WH-1000XM5

Diterbitkan pada Jun 29, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sony telah pun melancarkan monitor gaming pertama mereka dalam siri Inzone, iaitu M9 dan juga M3. Bersama-sama dengan pelancaran monitor ini, di bawah siri Inzone ini turut terdapat tiga set fon kepala untuk gaming iaitu Inzone H9, Inzone H7 dan Inzone H3.

Setiap rekaan set fon kepala ini turut mempunyai elemen rekaan daripada produk PlayStation, iaitu Pulse 3D walaupun ia bukan id bawah jenama PlayStation. Jelas di sini, siri Inzone adalah produk gaming untuk semua dengan elemen rekaan daripada konsol generasi baharu mereka.

Inzone H9

Set fon kepala Inzone H9 adalah variasi yang hadir dengan spesifikasi paling tinggi. Ia juga menyokong spatial audio Sony 360 Spatial Sound untuk memberikan pengalaman pendengaran realistik dan imersif. Ia juga boleh menghasilkan audio yang akan memberikan pengguna pendengaran lebih dekat seperti mendengar bunyi tapak kaki atau pergerakan musuh dalam permainan video. Sony Inzone H9 ini turut mempunyai mikrofon boom yang boleh dilaras dengan pemacu jenis multi-arah untuk menangkap suara pemakai dengan lebih jelas.

Cawan telinga pada H9 ini turut dikatakan mengambil inspirasi daripada WH-1000XM5 untuk memberi pengguna keselesaan dengan kusyen lembut serta dengan pad telinga yang boleh mengurangkan tekanan mengelak daripada masalah tidak selesa ketika memakai. H9 turut hadir dengan sokongan pembatalan hingar degan teknologi Dual Noise Sensor Technology yang digunakan pada WH-1000XM5.

Inzone H9 ini adalah set fon kepala nirwayar dengan bateri boleh bertahan sehingga 32 jam. Sony turut menyatakan set fon kepala mereka diiktiraf untuk penggunaan bersama PlayStation 5 dan Discord. Ia hadir dengan beberapa butang fizikal seperti mod permainan dan mod perbualan, butang untuk Bluetooth, butang pembatalan hingar atau mod ambien dan juga butang kuasa. Ia boleh dicas dengan USB-C serta mempunyai kawalan aras suara melalui kaedah skrol.

Sony Inzone H9 ini dijual pada harga $299.99 iaitu sekitar RM1320.

Inzone H7

Inzone H7 secara keseluruhan ada sama sahaja dengan H9, beza paling utama adalah ia tidak menyokong pembatalan hingar aktif yang menggunakan teknologi WH-1000XM5. Disebabkan itu, ketahanan bateri boleh mencapai sehingga 40 jam sekali penggunaan.

Dari segi rekaan, butang, ciri dan fungsi, cawan telinga dengan kusyen lembut semuanya sama dengan H9. Ia juga boleh digunakan secara nirwayar dan pengecasan USB-C, boleh digunakan pada PC dan juga PlayStation 5.

Harga jualan untuk Inzone H7 adalah $229.99 iaitu sekitar RM1012.

Inzone H3

Model terakhir dalam set fon kepala gaming siri Inzone adalah Inzone H3. Ia adalah model dengan spesifikasi paling rendah dan sesuai untuk pengguna permulaan. Ia juga adalah set fon kepala berwayar, tiada mikrofon multi-arah tetapi hanya mempunyai pemacu pada satu arah, dan tidak sesuai digunakan pada PlayStation 5. Akan tetapi ia mempunyai sokongan Tempest 3D AudioTech untuk permainan video pada komputer.

Untuk kawalan pula, hanya ada skrol untuk aras suara dan tidak ada butang fizikal lain. Tetapi kawalan lain masih boleh dilakukan pada perisian Inzone Hub. Bahan binaan seperti cawan telinga dan pad telinga masih sama memberikan keselesaan kelas premium seperti H9 dan H7.

Harga jualan untuk Inzone H3 adalah $99.99 iaitu sekitar RM440.

Sama seperti barisan monitor mereka, set fon kepala ini turut akan menyokong perisian Inzone Hub untuk kawalan pelbagai tetapan dan menetapkan profil pengguna untuk disesuaikan mengikut permainan yang akan dimainkan. Semua set fon kepala ini turut boleh menggunakan aplikasi Sony Headphones Connect sama seperti produk audio mereka lain seperti XM5.

komen


© Amanz / 2022 Kami