ARM telah mengumumkan keluarga baharu CPU dan GPU yang bakal digunakan pada cip mudah generasi baharu yang akan diperkenalkan pada penghujung tahun ini. Kita mulakan dahulu dengan CPU baharu Cortex-X3 dan Cortex-A715 yang menjanjikan peningkatan prestasi sehingga 25% dan penjimatan kuasa sehingga 20%. Turut dipertingkatkan ialah Cortex-A510 yang kini menawarkan penjimatan kuasa sehingga 5% dan kemampuan digabungkan sehingga 12 teras apabila diperlukan.

Cortex-X3 masih lagi menggunakan senibina Armv9 seperti Cortex-X2 yang digunakan pada Snapdragon 8 Gen 1. Menurut ARM Cortex-X3 mampu menawarkan peningkatan prestasi satu teras sehingga 34% berbanding pemproses komputer riba sedia ada.

Cortex-A715 pula memberikan peningkatan 5% kuasa memproses pada penggunaan kuasa yang sama dan pada waktu yang sama mengurangkan 20% penggunaan kuasa pada prestasi yang sama berbanding cip generasi terdahulu.

Lebih menarik ialah GPU Immortalis-G715 yang menggantikan keluarga GPU Mali yang digunakan sejak sekian lama. GPU Immortalis-G715 ini membawakan sokongan ray tracing yang selama ini hanya boleh dilihat pada konsol dan PC.
Immortalis-G715 hadir dalam konfigurasi 10-16 teras untuk penawaran prestasi grafik lebih baik. Peningkatan sehingga 40% pada permainan sedia ada boleh dinikmati dengan penjimatan kuasa pula sehingga 15%.
Selain itu GPU Mali-G715 dan Mali-G615 turut ditawarkan dengan prestasi yang tidak semercu Immortalis-G715.