Imej Pengolokan Xiaomi 12 Lite Tertiris Menunjukkan Rekaan Dari Semua Sudut

Diterbitkan pada Jun 30, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selepas mengesahkan bakal hadir dengan beberapa peranti baharu di bawah siri Xiaomi 12S. Kini timbul pula desas-desus mengenai kewujudan Xiaomi 12 Lite. Reka bentuknya juga telah tertiris dalam beberapa imej pengolokan yang dikongsi oleh EvLeaks.

Xiaomi 12 Lite 5G akan didatangkan dalam tiga pilihan warna seperti hijau, hitam dan merah jambu. Binaan tubuh pula sejenis berkotak yang dipadankan dengan skrin AMOLED sejenis rata. Bukan itu sahaja, ia turut memuatkan lubang kecil yang menempatkan kamera swafoto tunggal dan sokongan pengimbas cap jari terbina untuk tujuan sekuriti.

Panel belakang pula menunjukkan persediaan untuk sistem tri-kamera. Ia memuatkan satu lensa bersaiz besar yang dipadankan dengan dua lagi lensa bersaiz kecil dalam susunan menegak. Turut boleh dilihat adanya LED Flash bentuk memanjang bersebelahan dengan kamera utama. Penjenamaan Xiaomi turut kelihatan pada panel belakang ini.

Xiaomi 12 Lite 5G turut mempunyai sokongan untuk IR Blaster yang ditempatkan bersama-sama pembesar suara dan lubang mikrofon pada sisi atas peranti. Sisi kanan pula terdapatnya butang kuasa dan laras audio. Sementara itu, bahagian bawah pula menempatkan sokongan port USB-C, pembesar suara dan talam SIM.

Tiada maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran peranti yang diketahui setakat ini. Spesifikasi peranti juga masih menjadi tanda tanya, tetapi spekulasi awal ia mungkin menggunakan cip Snapdragon 778G dan sistem pengecasan pantas 67W.

komen


© Amanz / 2022 Kami