WhatsApp Sedang Menguji Ciri Menggunakan Avatar Seakan Memoji Untuk Panggilan Video

Diterbitkan pada Jun 30, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kebanyakan perkhidmatan panggilan video sudah mempunyai ciri menggunakan avatar tersuai sebagai alternatif untuk menunjukkan muka masing-masing ketika berada dalam sesi panggilan video. Snapchat ada penuras untuk digunakan pada Google Meet atau Zoom, Zoom ada avatar tersendiri, TikTok juga baru-baru ini telah memperkenalkan avatar tersendiri dan banyak lagi.

Tidak dinafikan yang penggunaan Memoji dalam FaceTime adalah antara inspirasi kepada perkhidmatan panggilan video yang menawarkan ciri ini. Terkini, Meta juga dilihat akan lebih fokus dalam penggunaan avatar untuk produk-produk mereka. WABetaInfo mendedahkan yang panggilan video mereka kelak boleh menggantikan wajah pengguna dengan avatar tersuai masing-masing.

Menurut sumber, ciri ini sudah dibangunkan sejak bulan Mac lalu. Namun ia masih tidak mempunyai sebarang butiran seperti adakah ia akan mengintegrasikan avatar daripada Facebook, adakah ia jenis interaktif dan boleh bergerak dan sebagainya.

Setakat informasi yang didedahkan adalah, pengguna boleh bertukar-tukar antara wajah sendiri dengan avatar. Turut tidak pasti bila ia akan diedarkan. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman lanjut nanti.

komen


© Amanz / 2022 Kami