Cari @ Amanz

Pengenalan siri OnePlus 10 sebelum ini telah menerima reaksi daripada pelbagai lapisan pengguna, di mana ada suka dan sebaliknya. Bagaimanapun, OnePlus kini dilihat mempunyai perancangan baharu untuk variasi baharu di bawah siri yang sama.

Dikenali sebagai OnePlus 10T, reka bentuk peranti ini pernah tertiris sebelum ini dengan rekaan yang lebih dekat dengan OnePlus 10 Pro. Namun begitu, terdapat sebilangan kecil perubahan yang dibuat. Misalnya butang Alert Slider yang tidak disertakan dan susunan kamera juga diubah.

Terbaru, reka bentuk peranti OnePlus ini sekali lagi tertiris menerusi ciapan OnLeaks pula. Ia menunjukkan reka bentuk yang sama sebelum ini dengan modul kamera utama yang besar. Ia bagaimanapun tidak digabungkan sekaligus dengan bingkai peranti. Sistem tri kamera dan satu LED Flash digunakan dengan susunan 2 X 2.

Tubuh peranti pula mungkin menggunakan bahan berasaskan kaca yang dipadankan dengan bingkai plastik. Turut melengkapi peranti ini adalah beberapa pilihan warna seperti hijau dan hitam. Tetapi ia belum muktamad, sebaliknya kita perlu menunggu pelancaran rasmi bagi mengesahkan variasi warna khusus.

Tiada tarikh pelancaran khusus yang didedahkan setakat ini. Tetapi dengan ketirisan ini, kita boleh menjangkakan ia bakal diadakan dalam masa terdekat ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd