Ulasan Poco X4 GT – Peranti Poco Pantas Dengan Perisian Yang Terkandas

Diterbitkan pada July 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Selepas Poco F4 GT kami berikan pendapat sebagai pembunuh peranti mercu dengan nilai terbaik untuk tahun 2022, Poco F4 5G dan Poco X4 GT pula tiba ke makmal Amanz untuk diuji. Saya secara peribadi memilih Poco X4 GT kerana ia adalah peranti yang dijana dengan cip Dimensity 8100 kedua selepas Reame GT Neo 3. Selepas beberapa minggu penggunaan, saya agak terkejut dengan kemampuan peranti dan turut terkejut dengan perisian peranti ini.

Spesifikasi Dan Rekaan

Poco X4 GT
Skrin6.6″ IPS LCD, DynamicSwitch DotDisplay
144Hz, FHD+, Dolby Vision, HDR10
PemprosesMediaTek Dimensity 8100 (5 nm)
Cip4x 2.85 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G610 MC6
RAM8GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama64+8+5 Megapixel
f/1.89+f/2.2+f/2.4
4K 30FPS, Mod klon, mod VLOG, kamera AI
Kamera Swafoto20 Megapixel
f/2.45
Bateri5080 mAh
Pengecasan berwayar 67W
SIM/TelefoniDwi SIM nano
NFCAda
AudioStereo, Dolby Atmos, Hi-Res
Ada bicu audio 3.5mm
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanImbasan jari di sisi
Harga JualanRM 1499 (8/128 GB)
RM 1599 (8/256 GB)

Peranti premium Poco dilihat semakin lama semakin hebat dengan penawaran spesifikasi tinggi dengan harga yang mampu milik. Tahun ini Poco cukup aktif membawa masuk pelbagai variasi peranti berkuasa mereka. Poco X4 GT pada hemat saya adalah antara yang paling menarik kerana menggunakan cip Dimensity 8100. Peranti ini menggunakan skrip IPS LCD bersaiz 6.6-inci, tetapi mempunyai warna yang cukup cantik, menyokong kadar segar semula 144Hz yang amat pantas serta boleh memaparkan kandungan HDR10 dan Dolby Vision pada platform penstriman seperti YouTube dan Netflix.

Skrin tidak mendatangkan masalah apabila menggunakan perisian media sosial, permua dan pelayar web. Tetapi wujud satu isu serius apabila menggunakan aplikasi penstriman video.
Netflix akan tersangkut-sangkut apabila menstrim kandungan pada resolusi tinggi dan pada beberapa platform penstriman video yang lain video langsung tidak boleh ditonton dan hanya memaparkan garisan rawak seperti yang dapat dilihat di bawah. Nampak seperti skrin mengalami kerosakan. Ini membuatkan pengalaman menonton video pada X4 amat mengecewakan.

Isu ini tidak berlaku pada GT Neo 3 yang turut menggunakan Dimensity 8100. Tetapi pada GT Neo 3, Netflix langsung tidak boleh dipasang dan akan tertutup dengan sendirinya apabila cuba dilancarkan. Ini mungkin isu aplikasi-aplikasi yang masih belum menyokong sepenuhnya Dimensity 8100.

Poco X4 GT juga mempunyai rekaan yang lebih kurang sama dengan kebanyakan peranti Poco, Redmi dan Xiaomi pada tahun lepas dan tahun ini. Ia tidak ada masalah serius pun, kecuali pada saya pada skrin dengan dagu yang masih tebal. Poco X4 GT masih dikira sebagai sebuah peranti dengan binaan yang cukup premium di dalam kelasnya.

Peranti ini selesa berada di tangan, tidak rasa seperti sebuah peranti “murah” seperti pesaing, banyak memuatkan teknologi terkini seperti pengecasan pantas, mengekalkan bicu audio 3.5mm, masih mempunyai sensor infra merah, butang juga sedap ditekan dan paling menarik ia mempunyai enjin getaran haptik yang cukup baik hampir setaraf dengan peranti mercu yang berganda lebih premium.

Kewujudan peranti ini adalah untuk memberi peminat Poco lebih banyak pilihan sama ada inginkan peranti berkuasa yang premium atau peranti berkuasa yang nampak macam premium. Poco X4 GT mempunyai perubahan yang banyak berbanding Poco X3 GT dari segi pengalaman penggunaan. Ia juga membuatkan saya teringat kepada Poco F1, peranti ini kembali ke yang asas atau Back to basic – dengan ciri dan fungsi berguna tanpa sebarang gimik.

Penggunaan Dan Perisian

Sehingga hari ini saya sendiri masih tidak faham kenapa MIUI for Poco tidak begitu baik dan memberikan satu pengalaman penggunaan yang memuaskan. Ia ada banyak pepijat yang menjengkelkan dan mengganggu pengalaman penggunaan. Paling serius pada Poco X4 GT ini adalah skrin yang saya sebutkan tadi, jika ada video resolusi tinggi seperti Stranger Things 4 dengan Dolby Vision, video HDR pada YouTube atau video FHD pada aplikasi penstriman lain – ia akan mula tersangkut.

Isu kedua yang menjengkelkan adalah, sambungan data mudah alih mudah terputus dan selagi peranti tidak dibut semula (reboot) selagi itu tiada akses ke data mudah alih. Bahkan apabila sudah hidup dan matikan semua mod pesawat, masih tiada apa-apa perubahan.

Betul MIUI for Poco diadaptasi daripada MIUI global. Tidak salah jika Poco melakukan satu iterasi sendiri seperti Realme dengan Realme UI yang diadaptasi daripada ColorOS. Sistem operasi mereka cukup lancar dan menarik untuk digunakan. Kalau berasaskan MIUI yang lain adalah Black Shark dengan JoyUI, yang tiada langsung masalah MIUI yang kerap berlaku pada peranti-peranti Xiaomi tetapi masih ada pengalaman penggunaan yang baik.

MIUI for Poco 13 yang dibina berasaskan MIUI 13 dan Android 12 kali ini dilihat ada banyak perubahan. Ia masih lancar, tiada masalah sangkut-sangkut atau sistem tergendala apabila bertukar antara aplikasi, 144Hz yang sangat memuaskan dan memberikan satu pengalaman penggunaan yang hampir memuaskan cuma tidak cukup. Ciri Game Turbo juga berbeza dan memberikan pengalaman penggunaan yang menarik sehinggakan saya tiada masalah langsung dalam bermain permua.

Saya juga kali ini tiada masalah dalam menerima notifikasi. Jadi ada baiknya pada perisian MIUI for Poco kali ini. Ia sudah hampir memberikan pengguna satu pengalaman penggunaan yang baik, cuma belum sampai lagi.

Penanda Aras

Poco X4 GT adalah sebuah peranti yang berkemampuan untuk bermain permua pada kadar ekstrem. Dalam ujian saya bermain PUBG Mobile tanpa aksesori penyejuk, satu sesi sekitar beberapa belas minit peranti langsung tidak suam atau berlaku memanas. Malah ia masih sejuk seperti biasa dan peranti juga tidak berlaku sebarang masalah lengah masa selepas bermain. Akan tetapi tetapan grafik terhad dengan HDR dengan Frame Rate pada tetapan Ultra sahaja.

Dalam ujian Asphalt 9 pula, permua turut berjalan dengan lancar tanpa ada masalah yang berlaku. Saya berani katakan pengalaman penggunaan peranti ini mirip dengan Poco F4 GT dengan Snapdragon 8 Gen 1. Penanda aras hanyalah nombor dan pengalaman penggunaan sebenar jauh lebih penting.

Jika anda rasakan nombor itu penting untuk rujukan, berikut saya bandingkan skor penanda aras antara Poco F4 GT, Poco X4 GT dan Realme GT Neo 3;

AnTuTu

Poco X4 GT: 751,720

Poco F4 GT: 919,369

Realme GT Neo 3: 742,992

Geekbench 5

Poco X4 GT: 905/3,536

Poco F4 GT: 1,246/3,554

Realme GT Neo 3: 963/4,008

Skor pada AnTuTu dilihat bersaing sengit dengan Realme GT Neo 3 yang menggunakan cip yang sama. Tetapi dalam pengalaman penggunaan, skor ini dilihat sedikit lebih tinggi berbanding Snapdragon 870. Untuk Geekbench, ia tidak konsisten pada semua peranti kerana pengurusan memori yang dikendalikan oleh sistem operasi masing-masing. Poco F4 GT dan Poco X4 GT hampir mempunyai skor multi-teras yang sama, tetapi Realme GT Neo 3 boleh tewaskan skor multi-teras peranti Snapdragon 8 Gen 1.

Telefoni Dan GPS

GPS dan telefoni sepanjang penggunaan tidak ada masalah serius pun. Saya gunakan ketika memandu ke Seremban dari Kuala Lumpur, Google Maps berjalan dengan lancar dan panggilan telefon juga tiada masalah dengan sambungan menggunakan VoLTE. Isu dilihat berlaku pada sambungan data mudah alih sahaja, iaitu ia mudah terputus dan tidak akan kembali selagi tidak but semula peranti.

Kamera

Saya tidak faham dan turut keliru dengan strategi Xiaomi dan Poco. Poco X4 GT adalah peranti kelas pertengahan dan Poco F4 GT adalah peranti mercu. Tetapi konfigurasi kamera adalah lebih kurang sama sahaja. Malah penggunaan 64+8+2 Megapixel adalah sejak Poco X3 GT lagi. Beza ketara adalah pada kamera swafoto sahaja dengan F4 GT yang 20MP, kerana X4 GT hanya 16MP.

Secara keseluruhan, apa yang mata saya nampak adalah kualiti kamera pada peranti ini lebih kurang sama sahaja dengan Poco F4 GT. Agak sukar untuk saya bezakan jika hasil gambar dikongsi pada media sosial. Apa yang saya sedari adalah, peranti ini mempunyai sistem kecerdasan buatan kamera yang lebih baik dan boleh dikatakan lebih konsisten.

Sepanjang penggunaan saya telah uji mod sudut ultra lebar, mod 2x zum, mod potret dan juga bermain dengan mod AI Sky mereka yang boleh mengubah suasana langit. Saya cukup kagum dengan kemampuan kamera peranti ini. Harga sekitar RM1500, tetapi mempunyai kualiti kamera seakan peranti RM2000-RM3000. Ia memelihara banyak butiran, mempunyai fokus yang baik, serta hasil warna yang cukup terang, tajam dan akan menyedapkan hati jika lihat setiap hasil gambar ini adalah daripada Poco X4 GT yang tidak sampai RM2000 pun harganya.

Mod AI Sky

Bateri

67W pada saya bukan lagi yang paling pantas apabila sudah biasa dengan 120W. Tetapi untuk sebuah peranti kelas pertengahan, 67W sudah memadai dan akan memuaskan hati ramai orang. Dipadankan pula dengan bateri 5080mAh yang cukup besar pada saiz peranti yang tidal begitu tebal. Kurang 50 minit peranti sudah boleh dicas sehingga penuh.

Poco X4 GT ini boleh bertahan sekitar 6-7 jam dalam satu pengecasan untuk penggunaan harian yang biasa. Manakala sekitar 5-6 jam untuk penggunaan ekstrem dengan aktif menggunakan kamera serta bermain permua pada jangka masa yang panjang.

Pengecasan 67W ini juga tidak membuatkan peranti memanas dan jika menggunakan peranti sambil cas juga proses pengecasan tidak akan terganggu dan tetap akan habis dalam masa yang dijanjikan.

Audio

Saya rasakan kualiti audio pada Poco X4 GT ini adalah lebih enak berbanding Poco F4 GT. Ia tidak rasa terkepung, mempunyai bass yang konsisten, vokal penyanyi yang baik dan jelas serta nada tinggi yang merdu. Speaker stereo ditala oleh Dolby Atmos untuk peranti ini mempunyai kualiti yang akan memuaskan hati ramai orang.

Saya gunakan untuk strim video pada Netflix, serta mendengar muzik pada YouTube Music, saya rasakan ia mempunyai speaker berkualiti tinggi bertaraf mercu mampu milik. Cuma isu besar saya adalah aras suara yang tidak begitu kuat dan tidak konsisten.

Pesaing

Poco X4 GTRealme GT Neo 3Black Shark 5
6.6″ IPS LCD, 144Hz, Dolby Vision
1080 x 2460, HDR10,(~407 ppi)
6.7″ AMOLED, 120Hz,
1080 x 2412, HDR10+,(~394 ppi)
6.67″, AMOLED, 144Hz,
1080 x 2400, (~395 ppi)
Dimensity 8100 (5nm)
4 x 2.85 GHz Cortex A78
4 x 2.0 GHz Cortex A55
Dimensity 8100 (5nm)
4 x 2.85 GHz Cortex A78
4 x 2.0 GHz Cortex A55
Snapdragon 870 (7nm)
1 x 3.2 GHz Kryo 585 Prime
3 x 2.42 GHz Kryo 585 Gold
4 x 1.8 GHz Kryo 585 Silver
Mali-G610 MC6Mali-G610 MC6Adreno 650
8 GB RAM LPDDR5
/128256 GB UFS 3.1
8 GB RAM LPDDR5
256 GB UFS 3.1
8/12 GB RAM LPDDR5
128/256 GB UFS 3.1
64MP, f/1.89 (utama)
13MP, f/2.2 (sudut ultra-lebar)
5MP, f/2.4 (makro)
50MP, f/1.9, OIS (utama)
8MP, f/2.3, (ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
64MP, f/1.8 (utama)
13MP, f/2.4 (sudut ultra-lebar)
2MP, f/2.4 (makro)
16MP16MP20MP
Ada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5080 mAh
Pengecasan pantas 67W
5000 mAh
Pengecasan pantas 80W
4650 mAh
Pengecasan pantas 120W
RM1499 (8/128 GB)
RM1599 (8/256 GB)
RM2099 (8/256 GB)RM2299 (8/128 GB)
RM2699 (12/256 GB)

Kesimpulan

Poco X4 GT adalah alternatif kepada Poco F4 GT yang saya boleh katakan mempunyai prestasi terbaik untuk permua. Cuma, kerana masalah sambungan data mudah alih sukar untuk saya cadangkan peranti ini kepada orang ramai. Tetapi peranti juga layak diberi peluang baharu, kerana MIUI for Poco yang rasa sedikit lain dan lebih sedap digunakan. Entah kenapa komuniti pengguna Poco yang besar, ramai saya lihat merungut dan bising mengenai masalah sama seperti rangkaian – Poco sehingga hari ini langsung tidak mendengar kata-kata mereka dan lakukan perubahan. Masalah skrin juga agak menjengkelkan pada saya, kerana mengganggu saya menikmati siri TV kegemaran.

Walaupun begitu, peranti ini masih seronok untuk digunakan dengan skrin 144Hz yang pantas dan konsisten, audio yang seimbang dan sedap, bateri yang tahan lama serta kamera yang baik. Poco X4 GT juga adalah alternatif lebih mampu milik dengan tiada sokongan butang pada haru, serta lebih murah berbanding Realme GT Neo 3 yang dijual pada lebih RM2000.

Untuk model 8/256 GB RM1599, beza RM500 dengan Realme GT Neo 3 – yang mana anda sanggup? Jimat RM500 untuk pengalaman penggunaan yang baik-baik sahaja dan hadap sahaja pepijat dan masalah lain atau habiskan ekstra RM500 untuk Realme dengan perisian yang hampir mantap? Untuk saya, saya rela simpan duit lama sedikit dan pilih Realme sahaja.

Pro

  • Rekaan ringkas dan elegan.
  • Skrin LCD 144Hz yang cantik dan pantas.
  • Prestasi yang berada di luar jangkaan
  • Kamera yang cukup baik untuk kelasnya

Kontra

  • Pepijat dalam MIUI for Poco yang sangat menjengkelkan
  • Masalah rangkaian yang kerap terputus

komen


© Amanz / 2022 Kami