Carian
Sistem Inforia Atlas Untuk Kereta Proton Akan Menyokong Spotify Tidak Lama Lagi
July 4, 2022 Fahim Zahar

Bulan lepas, Aco Tech telah melancarkan Atlas iaitu sistem operasi untuk inforia pada kereta Proton terpilih seperti X70, X50, Iriz dan Persona. Sistem Atlas ini akan menggantikan GKUI yang sedang digunakan. Sistem Atlas ini walau bagaimanapun bukannya Android Auto, tetapi dibina berasaskan Android 10.

Dengan Atlas, pengguna boleh mengubahsuai kedudukan widget sendiri, menyokong navigasi luar talian, kawalan berasaskan suara yang bijak mengenalpasti suara pemandu dan penumpang serta mempunyai sistem pembayaran Atlas Pay terbina dalam kereta.

Semasa pelancaran Atlas, mereka ada nyatakan akan bekerjasama dengan syarikat penstriman audio popular. Tetapi ketika itu menurut Nextrift, mereka belum dedahkannya lagi. Kini selepas hampir sebulan, Aco Tech mengumumkan secara rasmi yang sistem operasi Atlas untuk inforia Proton akan menyokong aplikasi penstriman audio Spotify.

Menariknya, kerjasama ini turut mengintegrasikan sistem Spotify Connect untuk pengguna kawal daripada telefon. Pengguna turut boleh mengawal dan mengakses Spotify terus daripada inforia kenderaan dengan kemaskini Atlas ini. Kemaskini ini akan diedarkan kepada kereta Proton terpilih bermula suku ketiga 2022 nanti.

Selepas kemaskini, pengguna turut boleh memuat turun Spotify melalu gedung aplikasi A Store. Syarat utama untuk menggunakan Spotify ini adalah inforia perlu menjalankan Atlas dengan Android 8.0 ke atas.

Komen