Cari @ Amanz

Dua bulan lepas, Xiaomi telah mengesahkan yang mereka akan bekerjasama dengan Leica untuk mengunakan teknologi kamera pada peranti-peranti mereka. Ketika itu apa yang kita tahu adalah khabar angin yang kamera Leica akan digunakan pada peranti Xiaomi 12 Ultra.

Beberapa hari lepas, mereka mengesahkan pula sensor kamera yang akan digunakan adalah 1-inci untuk peranti Xiaomi 12S Ultra. Sensor ini adalah binaan Sony, iaitu IMX989 Quad-Bayer. Sensor ini boleh memastikan hasil imej yang lebih baik dengan kurang kesan hingar, lebih banyak cahaya boleh masuk serta mod malam yang lebih baik. Hari ini, selepas sekian lama menanti – peranti ini rasmi dilancarkan untuk pasaran China.

Menurut Xiaomi, kerjasama ini telah membuatkan mereka hadir dengan lensa optikal tersendiri dengan teknologi lensa asferik 8P yang boleh memastikan tiada masalah kilauan cahaya, kesan ghosting, dan turut boleh memastikan tiada masalah kesan silau. Xiaomi juga akan menggunakan rekaan kamera ikonik Leica dengan logo merah Leica, serta turut menyokong profil gambar “Leica Authentic Look” dan “Leica Vibrant Look” pada aplikasi kamera. Xiaomi 12S Ultra juga adalah peranti Android pertama yang menyokong rakaman video Dolby Vision HDR dan menyokong penstabilan HyperOIS.

Peranti ini dijana dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1, binaan 4nm oleh TSMC, 10% peningkatah prestasi dengan 30% lebih efisien. Xiaomi 12S Ultra turut dilengkapi dengan sistem penyejukan baharu dengan sistem mengepam cecair penyejuk.

Saiz skrin adalah 6.73-inci AMOLED LTPO E5 120Hz, dengan sokongan Dolby Vision TrueColor Display, resolusi skrin adalah 3200 x 1440, kecerahan boleh mencapai 1500 nits. Memori pada peranti adalah mencapai 12GB RAM LPDDR5 dengan storan dalaman sehingga 512GB UFS 3.1 dengan sokongan storan segar semula FBO . Untuk audio, Xiaomi menggunakan speaker stereo simetri Harmon Kardon dengan sokongan Dolby Atmos dan Snapdragon Sound.

Untuk kamera, Xiaomi 12S Ultra menggunakan sistem pengimejan Leica Summicron 1:1.9-4.1 / 13-120 ASPH. Kamera utama adalah 50.3MP dengan sensor 1-inci sudut lebar Sony IMX989 f/1.9, menyokong auto-fokus Octa-PD, serta lensa dengan lapisan dakwat pada keliling.

Ia dipadankan dengan kamera sudut ultra lebar daripada sensor 1/2-inci Sony IMX586 48MP f/4.1 yang menyokong rakaman makro, dan juga kamera telefoto 120mm sensor Sony IMX586 f/4.1 48MP. Ia turut mempunyai sistem penuras Leica Vivid, Leica Natural, Leica BW Natural dan Leica BW High Contrast serta sistem Master-lens. Untuk kamera swafoto ia menggunakan sensor 32MP RGBW.

Kamera peranti Xiaomi 12S Ultra ini turut menyokong format 10-bit RAW yang ditala oleh Adobe Labs untuk memudahkan pengguna menyunting gambar dengan perisian seperti Adobe Lightroom.

Bateri peranti adalah 4860mAh dengan sokongan pengecasan pantas 67W berwayar, 50W secara nirwayar dan 10W nirwayar berbalik. Peranti ini turut dijana dengan cip Xiaomi Surge P1 dan Surge G1 yang boleh memastikan proses pengecasan adalah lancar, selamat untuk peranti dan boleh meramal jangka hayat bateri peranti.

Peranti turut dilengkapi dengan enjin haptik paksi-X, menyokong dwi-5G, NFC, Bluetooth 5.2, serta mempunyai perlindungan IP68. Panel belakang peranti menggunakan kemasan seakan kulit dengan pilihan warna Classic Black dan Verdant Green.

Peranti hanya dijual di China secara eksklusif dan Xiaomi tiada perancangan jika ingin meluaskan lagi pasaran peranti ini buat masa ini. Harga jualan adalah bermula pada RMB5999 iaitu sekitar RM3955 untuk 8/256 GB dan mencapai sehingga RMB6999 iaitu sekitar RM4615 untuk 12/512 GB.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd