Xiaomi telah melakukan kejutan juga semasa mereka mengumumkan kerjasama mereka bersama Leica. Dalam pengumuman lepas, mereka mengesahkan kehadiran kamera Leica pada siri Xiaomi 12S – memberi petanda ia tidak terhad pada satu peranti sahaja. Xiaomi 12S Ultra adalah variasi paling premium mereka dengan sensor 1-inci Sony IMX989 serta dijana dua cip Xiaomi Surge iaitu Surge P1 dan Surge G1.
Xiaomi 12S Pro
Xiaomi 12S Pro hadir dengan skrin 6.73-inci AMOLED E5 dengan resolusi 2K, menyokong kadar segar semula tinggi 120Hz AdaptiveSync Pro, serta kecerahan mencapai 1500 nits. Peranti ini dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 dengan memori mencapai 12GB RAM LPDDR5 serta storan dalaman sehingga 256GB UFS 3.1.
Untuk kamera, Xiaomi menggunakan sensor 50MP Sony IMX707 sebagai sensor utama dengan sokongan Xiaomi AI Image dan Xiaomi Pro Focus. Ia turut dipadankan dengan dua lagi sensor 50MP yang sama digunakan pada Xiaomi 12 Pro yang dilancarkan di Malaysia pada beberapa bulan lalu. Kamera swafoto juga sama, iaitu 32MP.
Bateri yang dimuatkan pada peranti ini adalah 4600mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W, 50W nirwayar. Sama seperti model sebelum ini, cip Xiaomi Surge P1 turut dikekalkan untuk menatau proses pengecasan pantas pada peranti ini.
Xiaomi 12S
Sama juga untuk Xiaomi 12S, iaitu model permulaan dalam siri baharu ini. Ia adalah kemaskini kepada Xiaomi 12 yang telah saya ulas sebelum ini. Peranti ini menggunakan skrin lebih kecil iaitu 6.28-inci, menyokong 120Hz AdaptiveSync Pro dan juga HDR10+. Peranti ini juga dijana dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 dengan pilihan memori sama dengan Xiaomi 12 sebelum ini iaitu sehingga 12/256 GB.
Kamera adalah 50+13+5 Megapixel, dengan kamera swafoto 32MP. Kamera pada peranti ini turut telah ditala oleh Leica untuk menyokong pelbagai ciri baharu dan pengalaman rakaman yang lebih baik. Bateri adalah 4500mAh dengan pengecasan pantas 67W berwayar dan 50W secara nirwayar.
Kesemua peranti Xiaomi 12S menyokong gambar dengan format 10-bit RAW yang ditala oleh Adobe Labs. Ini membolehkan setiap peranti menggunakan perisian Adobe Lightroom untuk suntingan yang lebih banyak butiran dan profesional.
Secara tidak langsung, Xiaomi 12S Pro dan Xiaomi 12S adalah peranti yang sama dengan sebelum ini. Cuma kamera telah ditala dengan Leica, aplikasi kamera mempunyai ciri Leica baharu dan cip dinaiktaraf kepada Snapdragon 8+ Gen 1.
Sama seperti model Ultra, siri 12S ini eksklusif untuk pasaran China sahaja. Harga jualan untuk Xiaomi 12S bermula pada RMB3999, iaitu sekitar RM2636. Sementara Xiaomi 12S Pro dijual pada harga bermula RMB4699 iaitu sekitar RM3098.