Xiaomi Book Pro 16 Dan Book Pro 14 Diperkenalkan Dengan Paparan Skrin OLED – Dikuasakan Cip Pemprosesan Intel Alder Lake

Diterbitkan pada July 4, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bersama-sama dengan pelancaran siri peranti pintar Xiaomi 12S, Xiaomi juga memperlihatkan komputer riba terbaru mereka, Xiaomi Book Pro 16 dan Xiaomi Book Pro 14 yang hadir dengan rekaan nipis dan ringan dan juga penggunaan komponen yang agak berkuasa.

Xiaomi Book Pro 16 dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz OLED bersaiz 16 inci dengan resolusi 4K dengan fungsi sesentuh terbina. Paparan ini juga boleh mengolah warna dengan kejituan delta E = 0.33 dan juga menyokong teknologi paparan Dolby Vision.

Untuk model Xiaomi Book Pro 14 pula, ia hadir dengan paparan OLED dengan fungsi sesentuh dengan resolusi 2.8K dengan kadar segar semula 90Hz dan juga kebolehan mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3.

Kedua-dua komputer riba ini dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i5-1240P dan Intel Core i7-1260P dengan memori DDR5 sebanyak 16GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 512GB. Untuk model Intel Core i5, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan model dengan cip grafik Intel Iris Xe ataupun NVIDIA GeForce MX550, dan untuk model Intel Core i7, ia akan hadir dengan pilihan untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2050.

Rangka kedua-dua komputer riba ini juga diperbuat daripada aluminum dan mempunyai rekaan senipis 14.9mm yang menjadikan komputer riba ini sebuah komputer riba premium nipis dan ringan.

Xiaomi Book Pro 16 dikatakan mempunyai jangka hayat bateri 12 jam, manakala Xiaomi Book Pro 14 mempunyai jangkahayat selama 10 jam. Dalam pada itu kedua-dua komputer riba ini akan menggunakan pengecas GaN 100W yang sama.

Diantara kedua-dua komputer riba ini, Xiaomi dilihat akan menjual Xiaomi Book Pro 16 dengan pilihan CPU Intel Core i5 terlebih dahulu pada harga permulaan 6499 yuan, manakala model Xiaomi Book Pro 14 akan dijual pada harga permulaan 5899 yuan.

komen


© Amanz / 2022 Kami