Shopee SPayLater Kini Patuh Syariah – Mengubah Bentuk Caj Dan Denda Lewat Bayar

Diterbitkan pada July 4, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Shopee kini mengumumkan khidmat Bayar Nanti, Pakai Lekas (BNPL) mereka tersendiri, iaitu SPayLater kini telah pun menerima pensijilan patuh syariah daripada Amani Advisors.

Untuk makluman, Shopee SPayLater telah diperkenalkan pada Januari 2021 lepas, membolehkan pengguna membeli dahulu, dan melakukan pembayaran pada kemudian masa, apabila telah terima gaji. Pengguna juga turut boleh memecahkan bayaran mengikut ansuran bulanan.

Namun, ketika itu, setiap transaksi hadir dengan caj faedah lewat bayar 1.5%. Disebabkan itu, Mufti Wilayah Persekutuan telah mengatakan ia mempunyai unsur riba, dan riba adalah haram.

Lanjutan daripada itu, kini mereka telah menerima pengesahan syariah, dan turut mengubah struktur bayaran lewat.

Kini, apabila anda mengalami kelewatan bayaran SPayLater, akaun anda akan dibekukan, dan perlu melakukan pembayaran sebarang bayaran tertunggak. Disamping itu, anda turut akan dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM10 untuk terus menggunakan perkhidmatan SPayLater berkenaan.

Pada masa yang sama, yuran pemprosesan untuk ansuran juga kini ditingkatkan kepada 1.5% setiap bulan atas jumlah pembelian – berbeza dengan sebelum ini sebanyak 1.25%.

Dengan perubahan ini, ia mungkin membawa kepada lebih ramai pengguna beragama Islam menggunakan perkhidmatan SPayLater ini.

Bagi anda sendiri, adakah anda akan menggunakannya?

komen


© Amanz / 2022 Kami