Apple telah menamatkan iMac Pro pada tahun 2021 dan kemudian iMac 27-inci dengan cip Intel turut ditamatkan. Ini menjadikan pilihan iMac adalah versi 24-inci dengan cip Apple M1 sahaja. Jika ingin pilihan yang lebih “pro”, Apple menawarkan Studio Display 27-inci dengan Mac Studio yang dijana dengan cip M1 Ultra atau M1 Max.
Tetapi gandingan Studio Display dan Mac Studio masih belum sesuai menjadi pengganti iMac Pro, iaitu peranti semua-dalam-satu khusus untuk pengguna profesional. Disember 2021, ada ura-ura yang Apple akan hadir dengan iMac Pro baharu dengan skrin mini LED, tetapi dikhabarkan model pro ini hanya akan tiba pada tahun 2023 dan Apple mungkin akan menawarkan iMac dengan cip M3 terlebih dahulu.
Mark Gurman baru-baru ini mendakwa yang Apple masih sedang membangunkan sebuah iMac yang lebih berkuasa dengan skrin lebih besar. iMac berkuasa ini dikatakan mungkin akan dijana dengan cip Apple M3 yang lebih berkuasa, mungkin M3 Pro atau M3 Max. Cip ini dibina oleh TSMC dengan rekaan 3nm, yang mana hanya akan tiba sekitar tahun 2023.