Realme GT2 Master Explorer Edition merupakan peranti pintar baharu yang bakal diumumkan pada 12 Julai 2022. Persoalan mengenai rekaannya kini terjawab apabila ianya didedahkan dalam beberapa gambar dan video pendek yang dimuat di Weibo.

Ia menunjukkan peranti dengan tubuh berkotak dan skrin hadapan sejenis rata. Sistem tri-kamera digunakan dengan padanan satu lensa bersaiz besar dan dua lagi lensa kecil dalam kedudukan berbeza. Ianya terdiri dengan kamera utama 50MP, sementara itu konfigurasi untuk dua lagi lensa masih tidak diketahui. Namun seolah-olah sudah kebiasaan Realme begitu gemar menggunakan sensor 8MP dan 2MP pada peranti keluarannya.

Seterusnya, penggunaan bahan berasaskan kulit pada panel belakang dan bingkai aluminium turut melengkapi peranti. Tiada maklumat lanjut mengenai perkakasan dalaman yang dikongsi buat masa ini. Ia bagaimanapun dikatakan bakal hadir dengan cip terkini Qualcomm iaitu Snapdragon 8+ Gen 1.
- Sumber
- Sumber – Weibo