Terdapat banyak aplikasi nota sedia terbina dalam telefon pintar masing-masing. Ada yang eksklusif dan ada juga yang boleh digunakan pada mana-mana platform. Antara kegemaran saya adalah Google Keep dan Sticky Notes. Tetapi yang kerap saya guna adalah Google Keep, kerana padat dengan ciri berguna dan ia boleh diakses pada mana-mana peranti Windows, iOS atau Android saya.
Terkini, Google mula mengedarkan secara meluas kepada semua pengguna Android untuk ciri drag and drop pada Google Keep. Melaluinya, imej-imej yang pengguna simpan dalam aplikasi nota Google ini boleh di seret dan dilepaskan ke aplikasi lain yang terbuka. Contohnya daripada Google Keep ke Gmail dalam mod dwi-tetingkap.
Ciri ini dilihat sudah boleh dilakukan pada telefon pintar sejak dulu lagi. Tetapi ia diperluaskan kepada pengguna tablet hanya baru-baru ini. Contoh imej yang Google kongsi adalah untuk peranti Android 12L. Dalam ujian saya sendiri, ia boleh digunakan dengan mudah pada mana-mana peranti Android asalkan aplikasinya adalah Google Keep dengan aplikasi Google lain seperti Gmail atau Google Message.