Cari @ Amanz

Hujan lebat di Utara Malaysia mengakibatkan puluhan keluarga terpaksa menetap di pusat pemindahan banjir sementara menanti air surut. Sudah jatuh ditimpa tangga isi rumah pastinya terjejas kerana dimasuki banjir serta dihanyutkan air yang deras. Ini adalah masalah yang akan menjadi semakin kronik dengan perubahan iklim yang semakin teruk.

Ichijo Komuten, sebuah firma pembinaan Jepun kini menawarkan rumah kalis banjir mereka kepada pelanggan yang berminat. Rumah yang dibina dilengkapi empat sistem pertahanan banjir. Sistem pertama menutup kesemua lubang pengudaraan bahagian lantai yang digunakan di Jepun. Apabila air naik lubang akan ditutup sebelum ia boleh memasuki ruang rumah.

Seterusnya ialah injap yang menghalang air memasuki rumah menerusi paip kumbahan tandas, dapur dan bilik mandi. Injap hanya membenarkan air mengalir sehala dan apabila banjir berlaku ia akan ditutup secara automatik kerana aliran air banjir dari luar.

Seterusnya ialah kaca pada pintu dan tingkap yang mempunyai binaan berlapis bagi menahan tekanan air yang tinggi. Bingkai juga diperkukuhkan untuk mengelakkan kebocoran atau tertanggal dari dinding.

Peringkat pertahanan terakhir ialah rumah akan terapung dengan terdapat sauh yang mengelakkan ia dihanyutkan dari tapak. Empat tiang kukuh dibina dengan struktur rumah bergerak ke atas mengikut ketinggian air.

Kesemua sistem elektrik, saluran air bersih, kumbahan dan pendingin hawa juga diletakkan lebih tinggi dan dicantumkan terus ke rumah supaya tiada isu ia perlu dibaiki selepas air surut. Dengan Malaysia masih lagi memandang ke Timur, mungkin ini satu teknologi yang boleh digunakan untuk mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd