Cari @ Amanz

Era peranti untuk permua mercu dengan Snapdragon 8+ Gen 1 bermula hari ini dengan pelancaran secara rasmi ASUS ROG Phone 6. Peranti ini dilengkapi dengan skrin 6.78″ AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula mencecah 165Hz. Skrin yang sama menyokong paparan HDR10+ untuk keterangan yang maksimum. Bagi mengelakkan lubang kamera merosakkan pengalaman permainan, kamera swafoto diletakkan pada bahagian dahi dengan dagu peranti juga agak besar.

Ini dipadakan pula dengan cip Snadragon 8+ Gen 1, memori sehingga 16GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 6000 mAh dengan sokongan pengecasan pantas 65W. Kamera utama menggabungkan sensor 50MP sudut lebar, 13MP ultra sudut lebar dan makro 5MP. Sementara itu kamera swafoto pula sebesar 12MP yang diletakkan pada bahagian dahi skrin.

Ciri utama ROG Phone 6 ialah butang bahu kapasitif Air Trigger yang menjadi pemicu tambahan ketika menjalankan permua. Pengguna boleh memprogramkan sendiri butang bahu mengikut keperluan peribadi dan permua. Terdapat juga dua port pengecasan USB-C. Satu di bahagian bawah dan satu lagi di bahagian sisi untuk memudahkan peranti di cas ketika sedang digunakan secara mendatar.

Sebuah bicu audio 3.5mm turut disertakan yang menjadikan peranti ini unik kerana ini adalah ciri yang semakin pupus. Tambah menarik peranti kalis percikan air kerana melepasi piawaian IPX4.

Panel belakang peranti nampak agresif dengan panel RGB yang mampu memaparkan 16.7 juta warna dengan 8 mod kerlipan lampu. Di Malaysia ASUS ROG Phone 6 dijual pada harga RM3599 untuk 12/256GB dan RM4399 untuk 16/512GB bermula Ogos 2022.

Pratempahan akan dibuka esok hingga 30 Julai menerusi laman Shopee dan ASUS rasmi. Pengguna yang memesan akan menerima hadiah percuma bernilai RM548 dalam bentuk tambahan jaminan kerosakan selama setahun bernilai RM199 dan AeroActive Cooler 6 bernilai RM349. Mereka juga layak membeli menerima potongan 10% ke atas harga ROG Slash Hip Bag (RM499) dan ROG Slash Crossbody Bag (RM399).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd