GIGABYTE S55U Ialah Paparan Gaming Gergasi 55 Inci Dengan Sistem Operasi Android Terbina

Diterbitkan pada July 6, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

GIGABYTE ialah sebuah jenama yang tidak asing lagi apabila bercakap mengenai komputer desktop, komputer riba, komponen-komponen dan aksesori gaming. Mereka juga dilihat memasuki pasaran paparan skrin komputer dengan beberapa penawaran yang cukup menarik sekali.

Terkini, syarikat teknologi dari Taiwan tersebut telah memperkenalkan paparan skrin terbaru dan terbesar mereka, iaitu GIGABYTE S55U, sebuah paparan skrin gaming gergasi bersaiz 54.6 inci yang hadir dengan resolusi 4K dan juga kadar segar semula 120Hz yang menggunakan panel VA dengan permukaan anti-silau.

Paparan ini mempunyai sudut pandangan 178 darjah yang menjanjikan olahan warna yang tepat tidak kira sudut pandangan anda dan hadir dengan sokongan untuk AMD FreeSync Premium yang menjanjikan olahan grafik tanpa isu carikan pada paparan (screen tearing) apabila anda menyambungkan komputer berkuasa anda pada paparan ini.

Dengan sokongan HDMI 2.1 pula, anda juga boleh menyambungkan konsol permainan generasi baru seperti Sony PlayStation 5 dan juga Xbox Series X pada paparan ini dan memanfaatkan olahan grafik pada resolusi 4K120 tanpa masalah.

Jika anda mahu membina sebuah teater rumah, paparan ini juga hadir dengan sokongan untuk palam HDMI 2.1 eARC dan mempunyai aksesori pengawal televisyen yang boleh digunakan untuk mengawal pelbagai fungsi peranti skrin ini, seakan-akan ia adalah sebuah televisyen.

Lebih menarik lagi, paparan skrin ini juga mempunyai sistem operasi Android dan Play Store terbina, yang menjadikan paparan skrin ini seumpama sebuah televisyen pintar dimana anda boleh memuat-turun aplikasi-aplikasi seperti Netflix dan sebagainya dan menikmati kandungan media secara terus dari paparan ini.

Paparan GIGABYTE S55U ini dilaporkan sudah ditawarkan di beberapa pasaran terpilih. Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi sekiranya paparan gaming gergasi ini akan ditawarkan di pasaran Malaysia ataupun tidak.

komen


© Amanz / 2022 Kami