Apple, AMD Dan NVIDIA Dijangka Mengurangkan Permintaan Cip TSMC
Nazrin
Semenjak dua tahun yang lalu, apabila wabak COVID-19 melanda dunia, salah satu komponen yang dilihat paling sukar untuk didapati oleh syarikat-syarikat pembuat peranti ialah cip silikon, ataupun cip pemprosesan. Ini membuatkan syarikat-syarikat seperti TSMC, Samsung, Micron dan sebagainya dilihat sebagai syarikat-syarikat paling bernilai di dunia.
Terkini nampaknya tuah syarikat-syarikat ini, khususnya TSMC akan berubah apabila ia dilaporkan bahawa syarikat-syarikat teknologi seperti Apple, AMD dan NVIDIA dilaporkan akan mengurangkan permintaan untuk cip-cip yang dikilangkan oleh TSMC ini untuk produk-produk terbaru mereka.

Seperti yang sedia maklum, TSMC adalah syarikat pengilang cip pemprosesan yang mempunyai senarai klien yang cukup terkenal, seperti nama-nama yang dikatakan sebelum ini. Ini adalah kerana TSMC merupakan salah satu dari sejumlah kecil syarikat pengilang cip pemprosesan dengan teknologi proses 5-7nm di dunia.
Apple dilaporkan akan mengurangkan pengeluaran peranti iPhone 14 mereka daripada 90 juta unit sebanyak 10 peratus, manakala AMD juga mahu mengurangkan pengeluaran cip pemprosesan yang menggunakan proses 6 dan 7nm, walaupun untuk cip 5nm (Zen 4), pengeluaran cip tersebut masih lagi seperti yang diminta pada awalnya.

NVIDIA dilihat berada pada keadaan yang paling unik sekarang, kerana walaupun selama beberapa tahun ini, orang ramai menghadapi kesukaran untuk membeli kad-kad grafik mereka kerana pelombong kriptowang, kad-kad grafik kini dilihat kembali membanjiri pasaran kerana kejatuhan nilai matawang digital tersebut yang jatuh mendadak.
Pelombong kriptowang dikatakan telah mula menjual kad-kad grafik mereka kerana ia tidak lagi berbaloi untuk dilomobong, dan juga untuk mendapatkan kembali wang pelaburan sebanyak yang mungkin. Perkara ini dikata akan mendorong pengurangan terhadap permintaan untuk kad-kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4000 yang akan dilancarkan oleh mereka pada penghujung tahun ini.

Ini juga kerana buat masa ini, kad-kad grafik seperti NVIDIA GeForce RTX 3080, 3070 dan sebagainya masih lagi dilihat sebagai siri kad grafik yang sangat berkuasa untuk keperluan pengguna sekarang.
Perkara ini juga dilihat akan mendorong TSMC untuk mengkaji semula jumlah pendapatan mereka untuk tahun ini. Permintaan untuk cip-cip yang dibangunkan oleh syarikat tersebut masih lagi sangat tinggi, tetapi oleh kerana pengurangan permintaan ini adalah daripada klien-klien terbesar mereka, ia masih lagi dilihat sebagai satu kerisauan kecil untuk mereka.
[sumber]Digitimes[/sumber]